AL-KAFI #419 : HUKUM BERKHATAN BAGI KAUM WANITA

apakah hukum berkhatan bagi kanak-kanak perempuan, kerana viral baru-baru ini bahawa khatan wanita tidak wajib, bahkan tidak disyariatkan di dalam Islam?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 419 (31 OKTOBER 2016 M / 30 MUHARRAM 1438 H)

SOALAN:

Assalamualaikum admin. Saya ingin bertanya, apakah hukum berkhatan bagi kanak-kanak perempuan, kerana viral baru-baru ini bahawa khatan wanita tidak wajib, bahkan tidak disyariatkan di dalam Islam?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Perbuatan berkhatan bagi wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak dahulu kala. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah. Allah berfirman di dalam al-Quran:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.

Surah al-Nahl, (16:123)

Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ
Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no. 2370) dalam al-Sahihain.

Sabitnya pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.

Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349).

Hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga berkhatan, dan bukan sahaja lelaki. Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.

Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi

Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.

Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[1]

Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [2]

Tarjih dan Kaifiat berkhatan

Kami mentarjihkan pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan. Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:

  • Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
  • Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.
    Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation
    yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam. Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau:

لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”

Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271). Beliau mendaifkannya. Ini dipersetujui oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut, tetapi disahihkan oleh Syeikh al-Albani.

Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.

Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.

Wallahua’lam.

Sumber : http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita

Nota hujung:
[1] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379
[2] http://www.umatia.org/ftawa12.html

Perempuan…

Subhanallah untuk para IBU

Saat Kecil

dia membuka pintu Syurga untuk ayahnya..

Saat dewasa

dia menyempurnakan agama untuk suaminya

Saat menjadi ibu,

Dia menjadi penggerak semua doa

oleh kerana itu

dia dimuliakan Allah dengan menempatkan syurga di telapak kakinya

ketika seorang perempuan sudah menjadi IBU,

maka ALLAH akan menganugerahkan kepadanya satu senjata yang sangat ampuh di muka bumi ..

“Tahukah anda apa itu?”

Itu adalah Lisannya..

Lisannya akan menjadi Berat timbangannya..

Lisannya akan menjadi pembuka pintu-pintu langit..

Ucapannya akan diijabah..

doanya akan diangkat tanpa penghalang..

doa ibu akan mampu menjadi penghancur kesulitan bagi anak keturunannya..

Dan mengeluhnya seorang ibu akan menjadi pemberat langkah setiap anggota keluarganya, termasuk bagi suaminya..

Maka pantang bagi seorang ibu untuk mengeluh,

kerana keluhannya pun akan menjadi kenyataan,

sebagaimana harapan dan doanya pun akan menjadi kenyataan..

ucapan buruknya akan menjadi musibah bagi dirinya dan keluarganya

Lisan seorang ibu layaknya seperti Karomah para wali..

Maka berhati-hatilah

wahai para ibu

ketika anda menggunakan

senjata terampuh ini..

gunakan untuk bermunajat meminta kepada ALLAH agar suamimu dimudahkan dalam mencari nafkah..

Jangan mengeluhkan tentang dirinya.

Itu akan semakin memberatkan dan menyukarkan kehidupan anakmu..

Gunakan untuk bermunajat meminta kemudahan dan Kesolehan  atas   anak-anakmu

jangan mengeluhkannya.

Kerana itu akan menjadi benar adanya..

Subhanallah

untuk para IBU

4 Wanita Penghulu Syurga

Rasulullah SAW apabila ditanya oleh sahabat mengenai siapa yang mesti diutamakan dahulu, baginda telah bersabda: “Ibumu…” sebanyak tiga kali kemudian baru disebutkan “ayahmu”.

Ini antara gambaran mengenai kedudukan dan ketinggian martabatt wanita dalam Islam.

Terdapat lagi satu hadis Rasulullah SAW bersabda : “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka adalah Asiah binti Muza him isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda.” (Riwayat Bukhari)

1. Maryam Binti Imran (Ibu Nabi Isa As)

Maryam adalah simbol wanita dalam Islam dan tingginya darjat ketakwaannya kepada Allah kerana telah memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika beliau mengabdikan dirinya kepada Allah.

2. Asiah Binti Muza (Isteri Firaun)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, walaupun suaminya menyiksanya dengan seksaan yang amat berat, Asiyah tetap memegang teguh keimanannya pada Allah SWT.

3. Khadijah binti Khuwailid (Isteri Nabi Muhammad Saw)

Khadijah adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal erti penat dan sentiasa mendampingi suaminya yang menegakkan kebenaran Islam. Nabi Muhammad sendiri bersabda, menurut hadis :“Tuhan Yang Maha Esa tidak pernah mengurniakanku seorang yang lebih baik dalam hidup ini daripada dia.

Dia menerimaku apabila orang menolak aku; dia mempercayaiku ketika orang meragui aku; dia berkongsi harta denganku apabila orang mengurangiku; dan Tuhan mengurniakan zuriatku hanya dengan dia.” (Hadis Sahih)

4. Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan Rasulullah)

Fatimah adalah simbol wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat dihadapan ayahnya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dia adalah seorang wanita mithali dan sewajarnya dijadikan contoh Muslimah.

Text | Fasha Seth