#FAKTA YANG PERLU KITA TAHU MENGENAI SISTEM TAHFIZ DI MALAYSIA

Hari ini menyampaikan Cek-cek Sumbangan Kerajaan Pusat kepada 34 Maahad Tahfiz yang berdaftar bagi Negeri Kelantan di Tok Aman Bali Resort yang jumlah peruntukan sebanyak RM 1,764.360.00 sebahagian daripada RM 30 juta Peruntukan yang diumumkan oleh YAB PM Dato’ Sri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Aliran Tahfiz Negara kita sekarang ini mempunyai 3 Aliran utama.

1. Aliran Tahfiz Kebangsaan

2. Aliran Tahfiz Negeri

3. Alliran Tahfiz Swasta


1.ALIRAN TAHFIZ KEBANGSAAN DI BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA DAN MARA

Bagi Aliran Tahfiz Kebangsaan ia menggunakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Modul Ulul Albab di SMKA. Yang mana sekarang ini 31 Buah sekolah sedang menggunakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz dan 15 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama ( SMKA) menggunakan kurikulum Tahfiz Modul Ulul Albab. Di samping itu MARA turut mempunyai 4 MRSM ULUL ALBAB yang mempunyai pengajian tahfiz, sementara 5 lagi sedang dibina.

Di peringkat lebih tinggi kerajaan telah melahirkan 6472 Huffaz melalui Darul Quran JAKIM yang sebahagian daripadanya adalah profesional seperti doktor, jurutera, akauntan melalui kerjasama dengan beberapa universiti tempatan.

2. ALIRAN TAHFIZ NEGERI

Manakala Tahfiz yang dibawah Seliaan Negeri khususnya Majlis-majlis Agama Islam Negeri yang berdaftar sebanyak 21 buah Sekolah yang melibatkan 4506 pelajar. Sekolah Tahfiz yang ada ini ada yang menggunakan kurikulum sendiri dan ada yang menggunakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT). Peringkat Diploma, Darul Quran, Jakim menawarkan program Diploma Tahfiz Al-Quran.

Pada masa ini terdapat 14 buah Maahad Tahfiz Negeri telah bekerjasama dengan Darul Quran, JAKIM dengan menggunapakai sistem peperiksaan yang sama

3. ALIRAN TAHFIZ SWASTA

Bagi Aliran Tahfiz Swasta yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri sekarang sebanyak 612 buah yang mana mereka menggunakan Kurikulum sendiri dalam pengajian tahfiz Al-Quran. Dianggarkan lebih 1000 institusi tahfiz persendirian yang berdaftar dan tidak berdaftar dengan MAINs dan JAINs.


Sumber : Dr Asyraf Wajdi Dusuki

#INFO : 3D Animasi Kebakaran Tahfiz Yang Mudah Difahami

Satu video tiga dimensi(3D) mengenai gambaran tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di muat naik di laman sosial sejak beberapa hari lepas.

Video berdurasi 3 minit dan 46 saat yang dimuat naik pengguna Muhamad Harris Nasril didakwa sebagai rekonstruksi 3D yang menggambarkan kejadian berlaku di pusat tahfiz tersebut.

Video 3D itu didakwa memberi penjelasan tentang pelan lantai aras asrama pusat tahfiz tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa

Video 3D yang dimuat naik itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen, Ada yang mempersoalkan kewajaran video berkenaan yang dianggap cuba membawa persepsi negatif kepada umum.

Namun segelintir netizen menyambut baik video rekonstruksi yang sedikit-sebanyak memberi pemahaman terhadap insiden.

Rekontruksi Animasi 3D kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Animasi ini menerangkan dengan jelas dan terperinci pelan lantai aras asrama pusat tahfiz tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dimanakah terletaknya dua tong gas yang dibukakan injapnya?

Bagaimana terdapat beberapa pelajar menyelamatkan diri?

Bagaimana pula 23 yang lain terkorban dan terperangkap?

Adakah pihak sekolah mengabaikan aspek keselamatan?

Tonton video ini untuk jawapan. **Sedikit editing dari video asal & mengurangkan kadar ‘speed time’ utk memudahkan pemahaman.

Credit: harris nasril • www.youtube.com/watch?v=vKViRMtuYLQ

10 FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI MENGENAI PEMBANGUNAN INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

10 FAKTA YANG PERLU DIKETAHUI MENGENAI PEMBANGUNAN INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

image
gambar hiasan – sinar harian

Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittafiqiyah telah mengundang pelbagai spekulasi dan polemik. Banyak hikmah dan iktibar untuk kita renungi bersama. Pokoknya Kerajaan mengambil serius di atas tragedi ini. Namun segala inisiatif yang diambil Kerajaan selama ini hanya akan dapat direalisasikan sekiranya semua pihak termasuk anggota masyarakat dapat berganding bahu bersama. Hakikatnya Kerajaan sentiasa memastikan komitmen padu diberikan terhadap agenda memartabatkan pendidikan Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam Agama Negara.

1.  Pada tahun ini sahaja bagi Bajet 2017, sebanyak RM80 juta telah diperuntukkan kepada 819 Sekolah Pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Institusi Tahfiz Berdaftar. Agihan RM50 juta kepada Sekolah Pondok dan SMAR di bawah Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Manakala RM30 juta lagi diagihkan kepada pusat-pusat tahfiz dan pondok agama bagi tujuan membangunkan pendidikan tahfiz seperti menaik taraf prasarana dan infrastruktur masing-masing agar menepati piawai keselamatan yang ditetapkan.

2.  Bagi pusat tahfiz, peruntukan ini disalurkan kepada seluruh negeri  berdasarkan jumlah sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan atau Majlis Agama Negeri (JAIN/MAIN) di setiap negeri. Kemudiannya JAIN/MAIN yang berkaitan akan mengagihkan jumlah sewajarnya mengikut pelajar di setiap sekolah. Setiap agihan akan disalurkan secara terus kepada akaun pusat tahfiz berkenaan.

3. Peruntukan di atas tidak termasuk institusi-institusi agama yang sememangnya di bawah tanggungan Kerajaan khususnya di bawah pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia. Setiap tahun Kerajaan membelanjakan tidak kurang  RM980 juta setahun untuk membiayai gaji dan emolumen hampir 59,000 guru-guru agama dan hampir 500 sekolah-sekolah agama termasuk sekolah aliran tahfiz dan ulul albab.

4. Peruntukan ini juga tidak termasuk sekolah-sekolah dibawah MARA seperti MRSM Ulul Albab aliran Tahfiz dan sekolah-sekolah agama yang ditanggung khusus oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

5. JAKIM sendiri mendapat peruntukan hampir RM500 juta setahun untuk menanggung elaun 33,000 Guru-Guru Kelas Fardhu Ain, 3,950 Guru-Guru Takmir dan 14,254 para Imam seluruh Malaysia.

6. Kerajaan juga mempunyai Insitusi Darul Quran JAKIM yang telah melahirkan 6,472 orang graduan yang ada dikalangannya adalah ‘Hafiz Profesional’ yang berkelulusan Doktor, Akauntan, Jurutera dan Pentadbir Kerajaan melalui program kerjasama dengan universiti-universiti tempatan. Komitmen besar kewangan kerajaan melebihi RM1 Billion  setahun juga turut disalurkan kepada insitusi-institusi Pengajian Tinggi berorientasikan Islam seperti UIAM, USIM, UNISZA, AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UM, FAKULTI PENGAJIAN ISLAM UKM dan program-program agama di semua universiti awam dalam negara.

7. Terkini di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 125,000 ‘Huffaz Profesional’ menjelang 2050 di bawah gagasan TN50.

8.  Selain yang disebutkan di atas, asas utama yang harus diketahui bahawa tanggungjawab pentadbiran agama Islam termasuk hal yang menyentuh sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat tahfiz adalah di bawah kuasa negeri-negeri. Justeru, pendaftaran pusat tahfiz adalah di bawah pihak berkuasa agama negeri.

9. Berdasarkan penyelarasan data yang dibuat JAKIM di peringkat persekutuan, sehingga kini terdapat 20 buah sekolah tahfiz milik Kerajaan Negeri dengan 4,643 murid dan 618 buah sekolah tahfiz swasta berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dengan 37,902 murid.

10. Perkembangan mutakhir menuntut kepada penubuhan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (yang akan bersidang Selasa ini). Penubuhan Jawatankuasa ini adalah suatu inisiatif berkesinambungan untuk memastikan operasi institusi-institusi pendidikan agama dapat berjalan dengan lebih teratur dan tersusun termasuk penekanan aspek keselamatan, kebajikan dan kualiti pembelajaran pusat-pusat tahfiz dengan penggemblengan usahasama antara agensi-agensi Persekutuan dan Negeri.

Hakikatnya pertumbuhan sekolah-sekolah agama dan tahfiz yang bagaikan cendawan selepas hujan adalah sesuatu yang perlu ditangani secara komprehensif khususnya bagi memastikan kualiti pendidikan tahfiz negara yang sebenar terjamin. Ini termasuklah kerjasama masyarakat agar tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar. Moga-moga tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menjadi pencetus kepada kerjasama utuh antara pelbagai pihak termasuk Agensi-agensi Persekutuan dan Negeri serta anggota masyarakat bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali.

Oleh: DR ASYRAF WAJDI DUSUKI


Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter 

#WanitaMaya