AL-KAFI #419 : HUKUM BERKHATAN BAGI KAUM WANITA

apakah hukum berkhatan bagi kanak-kanak perempuan, kerana viral baru-baru ini bahawa khatan wanita tidak wajib, bahkan tidak disyariatkan di dalam Islam?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 419 (31 OKTOBER 2016 M / 30 MUHARRAM 1438 H)

SOALAN:

Assalamualaikum admin. Saya ingin bertanya, apakah hukum berkhatan bagi kanak-kanak perempuan, kerana viral baru-baru ini bahawa khatan wanita tidak wajib, bahkan tidak disyariatkan di dalam Islam?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Perbuatan berkhatan bagi wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak dahulu kala. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah. Allah berfirman di dalam al-Quran:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.

Surah al-Nahl, (16:123)

Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالقَدُّومِ
Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 3356) dan Imam Muslim (no. 2370) dalam al-Sahihain.

Sabitnya pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
Maksudnya: Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.

Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih (no. 349).

Hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga berkhatan, dan bukan sahaja lelaki. Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.

Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi

Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.

Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[1]

Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [2]

Tarjih dan Kaifiat berkhatan

Kami mentarjihkan pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan. Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:

  • Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
  • Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.
    Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation
    yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris. Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam. Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau:

لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”

Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan (no. 5271). Beliau mendaifkannya. Ini dipersetujui oleh Syeikh Syuaib al-Arnaut, tetapi disahihkan oleh Syeikh al-Albani.

Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/301-302) oleh Imam al-Nawawi.

Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.

Wallahua’lam.

Sumber : http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita

Nota hujung:
[1] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379
[2] http://www.umatia.org/ftawa12.html

4 Wanita Penghulu Syurga

Rasulullah SAW apabila ditanya oleh sahabat mengenai siapa yang mesti diutamakan dahulu, baginda telah bersabda: “Ibumu…” sebanyak tiga kali kemudian baru disebutkan “ayahmu”.

Ini antara gambaran mengenai kedudukan dan ketinggian martabatt wanita dalam Islam.

Terdapat lagi satu hadis Rasulullah SAW bersabda : “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka adalah Asiah binti Muza him isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda.” (Riwayat Bukhari)

1. Maryam Binti Imran (Ibu Nabi Isa As)

Maryam adalah simbol wanita dalam Islam dan tingginya darjat ketakwaannya kepada Allah kerana telah memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika beliau mengabdikan dirinya kepada Allah.

2. Asiah Binti Muza (Isteri Firaun)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, walaupun suaminya menyiksanya dengan seksaan yang amat berat, Asiyah tetap memegang teguh keimanannya pada Allah SWT.

3. Khadijah binti Khuwailid (Isteri Nabi Muhammad Saw)

Khadijah adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal erti penat dan sentiasa mendampingi suaminya yang menegakkan kebenaran Islam. Nabi Muhammad sendiri bersabda, menurut hadis :“Tuhan Yang Maha Esa tidak pernah mengurniakanku seorang yang lebih baik dalam hidup ini daripada dia.

Dia menerimaku apabila orang menolak aku; dia mempercayaiku ketika orang meragui aku; dia berkongsi harta denganku apabila orang mengurangiku; dan Tuhan mengurniakan zuriatku hanya dengan dia.” (Hadis Sahih)

4. Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan Rasulullah)

Fatimah adalah simbol wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat dihadapan ayahnya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dia adalah seorang wanita mithali dan sewajarnya dijadikan contoh Muslimah.

Text | Fasha Seth

Cuba Bayangkan Kalau Kita Jadi Jutawan…

Cuba bayangkan kalau semua orang di Malaysia malam semalam Allah bagi RM 10,000,000.00 setiap seorang terus ke dalam akaun bank.

Bangun pagi ni, kita cek akaun melalui CimbClicks, punyalah terkejut sebab ada rm10 juta dalam akaun. Kita pun merancang untuk masukkan duit dalam pelaburan, bagi emak dan ayah, bayar hutang, beli kereta baru, beli rumah baru, shopping sakan dan pergi Melancong dan Umrah

Kita pun call emak di kampung, emak cakap tak perlu bagi emak duit lagi sebab emak dah jutawan.

Kita keluar rumah untuk pergi selesaikan urusan kita tadi. Keluar rumah, baru nak hidupkan kereta myvi, kereta pula rosak. Terus terbayang nak tukar dengan BMW 328i Sport. Sebelum tu, kena ada kereta lain dulu untuk ke Auto Bavaria. Kita pun call untuk sewa kereta. “Maaf, kami tidak beroperasi selama setahun kerana semua staff cuti. Mereka sudah jadi jutawan.”

Kita pun terus membuka applikasi Grab dan Uber. Ternyata tiada yang available kerana semua sudah jadi jutawan.

Kita mula melangkahkan kaki keluar untuk mendapatkan teksi. Ternyata Teksi juga tiada kerana semua pemandu teksi sudah jadi jutawan.

Kita teruskan melangkah ke bank untuk mengeluarkan duit. Bank juga tutup kerana semua pegawai bank sudah jadi jutawan. Duit di dalam mesin Atm juga sudah habis kerana kita agak lewat dan tiada penghantaran duit kerana mereka yang bekerja dengan Securiforce juga sudah jadi jutawan.

Kita mula buntu dan cuba melangkah longlai ke kedai mamak berhampiran untuk pekena teh ais kaw bagi menghilangkan rasa tertekan. Ternyata kedai mamak juga tutup kerana semua pekerjanya sudah jadi jutawan.

Kita semakin buntu. Kelihatan banyak projek pembinaan bangunan tidak berjalan kerana semua pekerja Indonesia dan Bangla juga sudah jadi jutawan.

Kite melangkah masuk ke kedai 24 jam, 7 eleven. Buat kali pertama kedai 7 eleven juga tutup kerana semua pekerjanya sudah jadi jutawan.

Banyak stesen minyak yang tutup kerana terputus bekalan minyak kerana pemandu lori minyak juga sudah jadi jutawan.

Keadaan jalan menjadi semakin sesak. Tetapi tiada Polis Trafik yang bertugas menjaga lalu lintas kerana semua Polis Trafik juga sudah jadi jutawan.

***

Jadi, bagaimana dengan kita?

Kesimpulannya, Allah dah jadikan setiap perkara itu adil dan sempurna.

Kepada mereka yang Allah berikan nikmat rezeki dan pangkat yang lebih, jangan sesekali sombong, berlagak dan memandang hina pada orang yang serba kekurangan atau biasa-biasa sahaja ini.

Kerana tanpa disedari, mereka ini lah yang banyak memudahkan urusan harian anda dengan izin Allah.

Kita di Malaysia rata2 cukup sara hidup, tetapi kita rasa tidak cukup kerana Gaya Hidup.

_Allah tentukan rezeki kita dengan sedikit usaha kita. Jika kita susah bukan sebab kerajaan atau orang lain._

#Syukur #TerimaKasihKepadasemua

#KitaCukupKosSaraHidup

#SaraHidupAtauGayaHidup

Sumber : Whatsapp