Hilangnya Srikandi Bangsa

Perginya mantan Naib Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar petang Isnin lalu benar-benar meninggalkan kesan terhadap seluruh ahli Pergerakan Wanita UMNO Malaysia terutama dalam suasana kita sedang menghadapi PRU14.

Hilang sudah serikandi bangsa yang sentiasa menjadi semangat kepada pelapis yang bakal memimpin masa depan.

Wanita yang dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71, tahun lalu adalah pejuang wanita tulen dalam mengangkat perjuangan bangsa dan memartabatkan wanita.

Dilahirkan dalam keluarga UMNO menjadikan darah pejuang mengalir dalam dirinya tanpa ada paksaan.

Beliau mula agresif dalam politik apabila bertanding merebut kerusi Parlimen Kuala Pilah pada 1982 untuk membolehkannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kerusi parlimen itu dipegangnya selama lima penggal hingga 2004.

Pada tahun 1987, bekas Naib Ketua Wanita UMNO ini dilantik pula sebagai Menteri Perusahaan Awam dan tiga tahun kemudian Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Pada tahun 1995, beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Pilah dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri sehingga Pilihan Raya Umum ke 10 pada 1999.

Beliau memperjuangkan Akta Keganasan Rumah Tangga sebelum ia diluluskan pada 1994, bertujuan memberi perlindungan dan keadilan kepada wanita yang menjadi mangsa penderaan rumah tangga.

Perjuangan yang dicurahkan terhadap parti diibaratkan seperti seorang ibu yang mendidik anak-anaknya dari kecil hingga dewasa tanpa mengharapkan sebarang balasan bagi jasa yang ditaburinya.

Beliau juga ‘ibu’ kepada 1.4 juta ahli Wanita UMNO kerana setianya bersama parti hingga akhir hayat dan menggalas jawatan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia.

Beliaulah juga induk kekuatan wanita pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO setiap tahun.

Hadir bersama loceng, petanda dewan sedia bersidang untuk kesekian kalinya. Pantun, seloka, madah, pujangga, ibarat tangkal penguat semangat kami meneruskan perjuangan di akar umbi. Pesanan dalam sindiran, jauh ke dalam hati setiap patah kata ‘Ibu Terbaik Bangsa’.

Secara peribadi saya kehilangan kakak yang sangat disanjungi dan dihormati.

Terima kasih Tan Sri Napsiah Omar. Damailah di sana, kami pasti merindui dan doa kami sentiasa mengiringi.

Al Fatihah.

SHAHRIZAT ABDUL JALIL

tan sri napsiah

 

Leave a Reply