Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat

Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima sokongan majoriti yakni sebanyak 129 anggota Parlimen berbanding 80 yang menolak.

Keputusan tersebut diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas undian yang dijalankan petang semalam. Usul yang telah digulungkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahir Hamidi terdahulu dibahaskan oleh 14 anggota Parlimen dari Barisan Nasional dan pembangkang.

Laporan itu akan dibawa untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebelum diwartakan untuk digunakan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perubahan yang disyorkan dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya akan membolehkan wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan di kawasan masing-masing sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar dan tidak berasas bahawa syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Perubahan yang disyorkan dalam kajian semula itu disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya merangkumi Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan keluasan kira-kira 132,000 kilometer persegi.

Tiada perubahan ke atas bilangan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedia ada namun mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 kawasan Parlimen dan 28 DUN.

Kali terakhir urusan kajian semula persempadanan diluluskan adalah pada tahun 2003, yang mana bahagian-bahagian pilihan raya yang diluluskan pada masa itu, telah digunakan dalam tiga siri Pilihan Raya Umum iaitu PRU Ke-11 pada tahun 2004, PRU Ke-12 pada tahun 2008 dan PRU Ke-13 pada tahun 2013,” katanya.

Najib berkata urusan kajian semula itu dilaksanakan dengan mengguna pakai daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 dan 6 Sept 2016 dengan jumlah pemilih berdaftar di Semenanjung Malaysia termasuk wilayah-wilayah persekutuan seramai 11,379,352 orang.

 

Leave a Reply