PUSAT PERMATA KURNIA ZON SELATAN DIJANGKA SIAP AWAL 2019

Pusat Permata Kurnia Zon Selatan dibina dengan peruntukkan RM6.5 juta dilengkapi kemudahan pembelajaran, bilik rundingan, gimnasium, taman permainan, kolam renang dan trek larian itu dijangka memulakan pembinaan bulan depan dan siap pada awal 2019.

Pusat yang dijangka boleh menampung 250 kanak-kanak autisme dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor itu juga memberikan akses kepada program prasekolah, perkhidmatan intervensi awal dan program pendidikan komuniti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata: “Bila saya tanya pengurus pusat autisme di Sentul (Kuala Lumpur)… saya tanya dia ada tak ramai ibu bapa daripada golongan miskin atau B40 yang hantar anak mereka ke pusat ini.

Pengurus itu berkata malangnya ramai yang hantar adalah kumpulan pertengahan, M40. Saya tanya kenapa? Pengurus itu berkata sebab kebanyakan B40 punya kepercayaan tersasar dan mereka percaya anak mereka kena buat, (terkena sihir),” katanya.

Sementara itu, Najib berkata kejayaan sesebuah negara tidak boleh hanya melihat kepada pendapatan perkapita sahaja atau mengukur dari segi pembangunan fizikal sebaliknya mesti juga membentuk masyarakatnya dengan nilai-nilai yang tinggi seperti masyarakat penyayang dan prihatin atau ‘a kinder and softer Malaysia.’

“Inilah yang saya masukkan dalam gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu kita bukan sahaja nak mengangkat martabat negara Malaysia sebagai negara 20 terunggul di dunia tetapi kita mahu ciri-ciri ini ditanam sebagai nilai asas dalam masyarakat supaya kita ambil berat dan ambil peduli orang yang susah serta orang yang kurang bernasib baik dan memerlukan pertolongan.

SUMBER : BERNAMA

Leave a Reply