ACARA E-SUKAN BANTU BUANG PERSPEKTIF TERHADAP WANITA

Ramai gadis di luar yang inginkan keseronokan dan kebebasan serta berkeinginan untuk “travel” sebelum meningkat usia ke alam dewasa. Namun, perkara ini berbeza dengan gadis berusia 24 tahun ini yang amat berminat dalam industri sukan.

Namun, sukan yang diceburinya tidak sama dengan sukan “outdoor” yang lain kerana sukan ini lebih bersifat santai dan tidak memerlukan tenaga yang banyak. Pada asalnya gadis ini ingin mencari pendapatan tetap dan bermain “game” untuk melupakan kesedihan ketika kehilangan ayahnya yang cukup memberi kesan pada dirinya.

Oleh itu, beliau fokus bermain permainan itu dan mendapatkan idea untuk mencari pendapatan melalui aktiviti “gaming” dan penglibatannya dalam bidang ini menyebabkan beliau mendapat gelaran duta bagi League of Legends bahagian Kuala Lumpur dan Selangor ketika berusia 21 tahun. Kejayaannya itu pasti membanggakan buat dirinya.

Dengan pelantikan tersebut menyebabkan beliau berhempas pulas bekerjasama dengan Garena yang merupakan syarikat game terkemuka untuk menganjurkan Weekend Cup yang merupakan acara mingguan bagi League of Legends.

Sibuk dalam e-sukan ini tidak bermakna beliau tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak habis belajar. Beliau telah bekerja tetap dalam bidang hartanah dan mencari sisi ruang yang lain untuk menonjolkan bakat diri.

Qistina turut teruja kerana mendapat tawaran untuk mengulas dalam kejohanan Malaysia Cyber Games kerana menurutnya tugas itu amat mencabar kredibiliti dan kebolehan terutamanya untuk dirinya yang masih “bertatih” dalam industi ini.

Tidak lama selepas itu, Qistina bekerja di Syarikat Asia Soft dan terbabit dalam operasi permainan Heroes of the Storm dan dalam masa yang sama memikul tanggungjawab di Mineski secara sambilan.

*TITIK PERMULAAN DALAM E-SUKAN*

Titik permulaan beliau mula berminat dalam e-sukan pada asalnya apabila mengenali Azrul Anwar atau Janda Hunter yang telah membantunya untuk memperkenalkan diri kepada Malaysia Fighting Games Community (MYFGC).

Agak mengejutkan baginya apabila komuniti ini mempunyai jumlah ahli yang kecil dan ada juga ahli yang berumur 40-an. Anda bayangkanlah… Namun, perkara ini tidaklah menjadi halangan baginya dan tidak kisah sekiranya dilabel dengan macam-macam gelaran yang agak kurang selesa baginya.

Qistina melibatkan diri dalam komuniti yang memfokuskan permainan seperti Street Fighter, Tekken, Injustice dan Dragon Ball FighterZ itu dan bercita-cita tinggi untuk mengembangkan industri itu.

*BERPERANAN LEBIH BESAR DALAM KOMUNITI”

Hampir lebih setahun bersama komuniti itu, Qistina ditawarkan dengan peranan yang lebih besar dalam organisasi Flash Vision yang mengendalikan segala acara berkaitan komuniti MYFGC dan beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pembangunan Bisnes. Beliau banyak menumpukan kepada media sosial dan menyiapkan kerta kerja untuk sebarang urus acara MYFGC.

Meskipun penat kerana terpaksa untuk tidak tidur malam bagi memastikan ia berjalan lancar, namun baginya perkara ini amat berbaloi kerana usaha ini menyebabkan komuniti berkembang.

*WANITA PERLU LEBIH BERANI*

Meskipun terpaksa menghadapi pelbagai liku-liku ujian dan cabaran yang dilaluinya, perkara ini pastinya menjadi satu iktibar buat dirinya dan perkara ini menjadi contoh yang baik kepada wanita dan membuktikan bahawa golongan ini tidaklah lemah seperti mana yang disangka.

Wanita juga mampu berdiri sendiri dengan bakat yang ada menandingi kaum lelaki. Mereka perlulah tampil berani ke hadapan dan tidak terikut dengan stereotaip yang menghalang wanita daripada terbabit dalam e-sukan.

Qistina mengharapkan bahawa wanita tidak perlulah takut untuk menonjolkan kebolehan yang dimiliki kerana baginya jantina tidak penting, yang ingin dilihat ialah apa yang kita boleh beri untuk kebaikan industri.

 

Leave a Reply