Kepemimpinan wanita B40 berdepan cabaran hidup

Golongan 40 peratus berpendapatan terendah atau B40 adalah mereka yang menerima pendapatan isi rumah RM3890 ke bawah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, sebelum ini menyatakan, pelbagai program dan usaha akan diwujudkan untuk membangun dan memperkasakan usahawan wanita, khususnya suri rumah, ibu tunggal dan wanita secara amnya yang layak di bawah kategori kumpulan B40.

Katanya, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program pemerkasaan ekonomi dan pembasmian kemiskinan seperti program Pembangunan Inisiatif Keusahawanan Wanita (DEWI), Bazar Wanita Laman Wanita (Lawa), Program 1Azam dan Program keusahawanan Dasar Keluar Dua Tahun (2YEP) yang terus memberi perhatian kepada bantuan kebajikan secara langsung, serta penyediaan kemudahan bagi memperbaiki diri supaya berupaya keluar daripada putaran kemiskinan.

Namun, ada yang bertanya mengapakah kes wanita terutama ibu tunggal sering kali diberikan perhatian, berbanding bapa tunggal dan golongan lelaki. Ramai juga bertanya dan mengaitkan di manakah kesaksamaan gender?

Sudah lumrah seorang ibu akan menghabiskan segala kepentingan diri, pendapatan, masa untuk kesejahteraan anak dan keluarga.

Majoriti ibu akan mendahulukan keperluan anak sebelum keperluan diri sendiri. Justeru, bantuan yang diberikan banyak mengkhusus kepada ibu dan wanita. Di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKE-11) yang mengutamakan ekonomi rakyat memberi tumpuan kepada isu rakyat Malaysia seperti peningkatan kos sara hidup, pendapatan isi rumah, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan juga jaringan keselamatan sosial.

Wanita di luar bandar mempunyai peluang untuk memulakan perniagaan dengan bantuan kewangan mikro Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan seramai 225, 867 orang sudah pun mendapat manfaat daripada bantuan itu. Wanita juga adalah pembayar hutang yang baik dan jarang gagal di dalam pembayaran pinjaman yang diberikan kepada mereka.

Cabaran wanita B40 ini ialah ramai dari mereka mempunyai pencapaian akademik yang rendah dan kurang kemahiran. Kajian yang dilakukan menunjukkan, hanya 36.4 peratus ketua isi rumah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 84.6 peratus mempunyai pendidikan tahap sekolah menengah dan ke bawah. Disebabkan itu, 89.9 peratus bekerja di dalam pekerjaan kolar biru dan juga yang kemahiran yang berkemahiran rendah. Kadar keciciran juga tinggi dalam kalangan Orang Asli dan pribumi terutama di Sabah dan Sarawak.

Kerja lebih daripada satu pekerjaan

Wanita daripada keluarga B40 juga mempunyai cabaran untuk meningkatkan minat anak untuk hadir ke sekolah disebabkan oleh keadaan rumah tangga yang tidak kondusif untuk pembelajaran. Kekurangan sokongan kepada anak untuk belajar lebih tinggi disebabkan mereka perlu bekerja lebih daripada satu pekerjaan sehari dan kekangan dari segi lokasi rumah mereka dengan sekolah yang memerlukan masa dan juga kos tinggi menyebabkan ramai anak daripada kumpulan 10 peratus bawah B40 tertinggal dari segi pembelajaran.

Wanita yang menceburi bidang keusahawanan pula, ramai terbabit di dalam perniagaan mikro dan kecil. Cabaran yang mereka hadapi adalah dari segi kurang modal, kemahiran mengurus, tenaga kerja yang berkemahiran, akses kepada bantuan kewangan dan pasaran serta teknologi dan inovasi. Cabaran ini mengekang wanita untuk mahir dan menjuarai digital ekonomi serta teknologi yang menggunakan teknologi konsep pasaran atas talian.

Kos sara hidup semakin meningkat juga memeningkan kepala suri rumah dan paling terkesan adalah kumpulan B40. Untuk menyediakan makanan yang seimbang ia memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM12 sehari untuk seorang. Ini mencapai sehingga RM1,800 sebulan di dalam keluarga yang mempunyai empat hingga lima orang.

Kos pengangkutan, kos pendidikan, kos perbelanjaan lain-lain amat tinggi dan kenaikan harga barang amat dirasai. Majoriti kumpulan B40 berjimat cermat, dan selalunya mereka masak di rumah dan membawa bekal ke pejabat, menggunakan perkhidmatan awam dan amat sedikit yang boleh bercuti bersama keluarga, apatah lagi untuk menghantar anak ke pusat tuisyen.

Kesempitan hidup menyebabkan ada dalam kalangan golongan ini terbabit dengan hutang seperti along dan ia akan memberi tekanan tinggi kepada keluarga. Statistik menunjukkan pada 2014, pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah mempunyai nilai hutang tujuh kali pendapatan isi rumah tahunan mereka dan mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah pula mempunyai kadar hutang tiga hingga empat kali pendapatan isi rumah setahun.

Kumpulan B40 juga tidak mampu memiliki rumah sendiri terutama di kawasan bandar seperti kawasan Kuala Lumpur dan Georgetown. Isi rumah selalunya padat, di mana 30 peratus mempunyai empat atau lebih ahli keluarga dalam satu rumah yang mempunyai maksimum dua bilik.

Kepemimpinan seorang wanita itu berperanan penting supaya makan minum keluarga terjaga, anak mendapat pendidikan sempurna dan taraf sosioekonomi bertambah baik.

Beberapa hal perlu diambil kira seperti keupayaan akses kepada informasi dan peluang untuk meningkatkan pendidikan serta latihan vokasional. Perlu ada balance scorecard iaitu mempunyai kemahiran dalam mengimbangkan tanggungjawab di tempat kerja dan tanggungjawab keluarga.

Pastikan mendaftar untuk mendapat jaringan keselamatan sosial seperti ekasih, bantuan rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bantuan kerajaan yang lain serta tingkatkan peluang untuk mendapat kredit serta pemasaran produk jualan secara dalam talian. Selain itu, tingkatkan literasi di dalam perniagaan dan pengunaan teknologi.

Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak
Pengarah, Pusat Kempimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, UKM

sumber: Berita Harian

Leave a Reply