WANITA : SUKARELAWAN BUKANLAH PENGHALANG UNTUK SESEBUAH KEJAYAAN

Dalam mengejar keputusan peperiksaan yang cemerlang, para pelajar pastinya akan fokus kepada pembelajaran semata-mata dan mengabaikan aktiviti kokurikulum kerana menganggapnya tidak penting terutamanya mahasiswa/i yang menyambung pengajian di luar negara.

Walaubagaimanpun, terdapat segelintir pelajar yang berminat untuk melibatkan diri dalam kegiatan sukarelawan dan tidak menjadikan alasan kekangan masa dan perbezaan budaya hidup sebagai penghalang.

WANITA-1.jpg

Farhanah Firdaus Francis, 22, penuntut ijazah dalam bidang perakaunan di Universiti Auckland, New Zealand tidak menjadikan alasan itu sebagai penghalangnya. Malah menganggapnya sebagai satu sumbangan yang besar kepada masyarakat.

Menurutnya, kerja amal yang dilakukan bersama Handshake People New Zealand membuatkan dirinya lebih dekat dengan masyarakat berbilang kaum dan agama. Tambahnya, dilantik sebagai Ketua Pembangunan Wanita ketika diawal penubuhan persatuan itu membuatkan beliau bersungguh-sungguh dalam aktiviti sukarelawan ini.

Farhana juga menyifatkan bahawa sukarelawan dapat membentuk golongan muda secara menyeluruh selain memberi pelbagai kemahiran kepada masyarakat setempat mengenai kepimpinan dan keusahawanan.

Selain dapat memberi kepuasan kepada diri, aktiviti yang dijalankan dapat membantu dan mendekatkan diri dengan golongan gelandangan di sekitar Auckland dengan memasak dan memberi makanan kepada mereka setiap bulan.

Malah, katanya perbincangan dengan NGO bukan Islam di sana mengenai perbezaan Islam dengan agama lain di dunia serta permasalahan yang dihadapi remaja dalam pelbagai agama turut diadakan.

Kesungguhan Farhanah membolehkan anak bongsu daripada dua beradik ini menerima anugerah Women Who Inspire Award 2017 sekaligus mengiktiraf kerja amalnya di sana.

Disebabkan minat yang mendalam dalam membantu masyarakat, beliau tidak kisah untuk mengorbangkan tenaga dan cuti semester dengan membabitkan diri dalam kerja amal dan menjadikannya beliau lebih merendah diri dengan masyarakat.

Pelajar tahun dua Universiti Auckland ini juga berharap dapat mengadakan satu misi bersama sekumpulan pelajar antarabangsa dari universitinya tahun depan untuk memasuki bumi Palestin dan berada di sana sekurang-kurangnya sebulan bagi membantu penduduk negara itu.

Leave a Reply