Malaysia iktiraf Baitulmaqdis ibu kota Palestin

Malaysia mengutuk dan menolak keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, sebaliknya mengiktiraf sepenuhnya bandar suci itu sebagai ibu kota Palestin.

IMG-20171213-WA0035

Serentak itu, Perdana Menteri menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu dan senada bagi memastikan sebarang percubaan mengubah status quo serta keadaan bandar suci umat Islam itu tanpa restu rakyat Palestin, dihalang dan ditolak sekeras-kerasnya.

“Kita mesti bersatu dalam menolak sebarang langkah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

“Ia perlu diiktiraf sepenuhnya sebagai ibu negara Palestin,” katanya ketika ucapan pernyataan Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC.

WhatsApp-Image-2017-12-13-at-8.00.28-PM

Najib berkata, tindakan AS menjejaskan semua usaha mencapai penyelesaian yang adil, komprehensif dan berpanjangan dalam konflik Palestin-Israel.

Beliau berkata, berikutan itu, penyelesaian masa depan dua negara terbabit terus terumbang-ambing dan rapuh.

Katanya, sebarang percubaan mengiktiraf Baitulmaqdis atau sebarang perubahan persempadanan sebelum tahun 1967, adalah pelanggaran terhadap hak menentukan masa depan rakyat Palestin.

“Ia juga pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB, termasuk yang terbaharu, Resolusi 2334 (2016),” katanya.

Malaysia juga mahu status Baitulmaqdis diputuskan secara bilateral dan bukan unilateral.

“Ia mesti diselesaikan secara perundingan Palestin dan Israel berdasarkan kerangka penyelesaian dua negara,” katanya.

Najib berkata, pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel umpama mencurah minyak ke dalam api yang marak.

Ia juga umpama menyokong dasar kependudukan zalim dan penindasan menyebabkan kesengsaraan lebih teruk terhadap rakyat Palestin.

Selain itu, katanya, keputusan AS adalah provokasi yang menyebabkan kesan serius terhadap keselamatan di wilayah terbabit kerana menyemarakkan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia.

“Akibatnya, kita menyaksikan keganasan dan ketegangan. Kita saksikan juga demonstrasi dan protes membantah keputusan itu, termasuk di negara saya.

“Kita bimbang situasi ini akan meletus kerana ketegangan terus meningkat,” katanya.

Justeru, kata Najib, OIC yang mewakili 1.6 bilion umat Islam tidak harus berdiam diri membiarkan ketidakadilan berterusan.

“Suara bersatu kita tidak boleh dinafikan, begitu juga reaksi negatif daripada komuniti antarabangsa.

“Kita wajib bersatu dalam perjuangan kita menolak sebarang tindakan mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

“Kita mesti bekerjasama dengan saudara Islam dan bersama komuniti antarabangsa untuk memastikan status Baitulmaqdis dibincangkan berdasar kerangka penyelesaian dua negara,” tegasnya.

Pada masa sama, Najib berkata, OIC mesti menghalang negara lain daripada menyokong tindakan mengisytiharkan bandar itu sebagai ibu kota Israel.

Katanya, kepercayaan agama menyatukan masyarakat Islam berhubung usaha ini dan tidak berpatah balik dalam usaha perjuangan menentukan hak serta keadilan.

Najib juga berkata, proses damai Asia Barat memerlukan penyelesaian pragmatik berasaskan undang-undang antarabangsa dan berharap AS akan membantu menyumbang ke arah itu.

“Kita perlu mewujudkan suasana untuk rundingan damai bagi meneruskan prospek penyelesaian.

“Kita perlu ingat bahawa Baitulmaqdis adalah suci kepada umat Islam dan mempunyai signifikan keagamaan kepada kepercayaan lain.

“Tanah suci dan bandar ini perlu dijadikan kawasan yang aman untuk semua daripada kepercayaan yang berbeza,” katanya.

Daripada Ahmad Zaini Kamaruzzaman | Berita Harian
madzaini@bharian.com.my

Leave a Reply