Ucapan Dasar Ybhg Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh

BAHAGIAN 1
DOA PEMBUKAAN
1. Saya suka mulakan ucapan ini dengan sebuah kisah tentang doa.

2. Ketika Imam Syafie merantau hingga ke Mesir untuk bertemu dengan Imam Malik, meminta untuk didoakan, lantas jawab Imam Malik, “Kamu telah tersalah alamat. Sedangkan di rumahmu ada orang yang doanya, 100,000 (satu ratus
ribu) kali ganda makbul doanya dariku dan tiada hijab doanya antara dia dan Allah SWT.
3. Lalu Imam Syafie bertanya, siapakah dia? “Itulah doa ibumu.”
4. Wahai Ibu Terbaik Bangsa, lapangkan hati dan besarkan jiwa. Angkatlah kedua telapak tangan kalian yang suci, bermohonlah pada Tuhan Rabbul Jalil.
5. Ya Allah Rabbul Jalil, Kau jadikanlah tiap titis keringat Ibu Terbaik Bangsa ini, laksana titis embun yang membasahi pohon syurga-Mu.
6. Ya Allah Ya Rahman, jangan sesekali Kau palingkan redha dan rahmat-Mu, seperti mana Ibu Terbaik Bangsa ini tidak berpaling dari perjuangan mempertahankan agama-Mu. Ikatlah hati-hati mereka, sekuat ikat janji mereka membela bangsa.
7. Ya Allah Ya Quddus, Kau terangkanlah setiap jalan-jalan yang gelap, Kau perluaskanlah setiap ruang yang himpit dan tersepit, dengan Nur agama-Mu.
8. Kau sucikanlah jalan Ibu Terbaik Bangsa ini dari dengki dan iri hati, limpahkanlah barakah laksana hujan membasahi bumi.

9. Ya Allah Ya Muhaimin, Kami hidup kerana-Mu, kami berjuang kerana-Mu dan kami mati kerana-Mu. Teguhkanlah barisan serikandi Ibu Terbaik Bangsa ini dengan kebijaksanaan para rasul, kefasihan para nabi, dan kefahaman para sahabat.
10. Ya Allah Ya Mutakabbir, Tuhan Maha Megah, Kau bukakanlah gerbang rahmat-Mu seluas-luasnya, untuk menerima kembali serikandi- serikandi bangsa kami yang mulia.
11. Kau lapangkanlah kubur Allahyarham pejuang-pejuang kami, khususnya Allahyarhamah Puan Hapsah Khalid, Tan Sri Noriah Kasnon, Puan Aminah Manaf, Puan Norahan Abu Bakar, Puan Ramlah Ismail, Dato’ Wira Maznah Hamid serta serikandi bangsa yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami.
12. Bariskanlah roh-roh mereka yang mulia ini, sebaris roh para mujahid yang syahid kerana jihad di atas nama-Mu.
13. Ya Allah Tuhan pemilik segala kebesaran, bersaksikan keagungan kerajaan-Mu, kami pulangkan Ibu Terbaik Bangsa ini.
14. Al Fatihah.

SALUTATION

15. Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Napsiah Omar,
16. Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed,
17. Yang Berhormat Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun,
18. Yang Berhormat wakil Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Dato’ Razali Ibrahim, Dato’ Sri Irmohizam Haji Ibrahim dan Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.
19. Barisan Pegawai-Pegawai, Ahli-ahli EXCO Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
20. Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,
21. Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, pejuang-pejuang Ibu Terbaik Bangsa, para pemerhati sama ada di dalam atau di luar dewan ini,
22. Tuan-tuan dan puan-puan, wakil-wakil media, serta semua yang saya hormati sekalian.

PEMBUKA BICARA
23. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. ahli keluarga dan para sahabat baginda.
24. Saya bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran 973 (sembilan ratus tujuh puluh tiga) perwakilan Wanita dari 191 (seratus sembilan puluh satu) bahagian seluruh Negara, yang mewakili 20,370 (dua puluh satu ribu tiga ratus tujuh puluh) cawangan Wanita UMNO ke perhimpunan ini dengan membawa suara dari peringkat akar umbi.
25. Saya ingin mengajak puan-puan untuk kita manfaatkan Perhimpunan Agung ini sebagai wadah perbahasan, tentang hendaknya rakyat, mahunya mereka apa yang kekurangan. Kita kumpul kekuatan jadi ledakan, kita perbaik kelemahan jadi keampuhan.

Puan-puan sidang perwakilan sekalian,
26. Sepenggal kita bersama, bersaksi ikrar percaya, Wanita UMNO terus membenteng parti.
27. Laksana panglima di medan perang, walau beribu tentera di belakang, andai tunjangnya lemah belulang, pasti pasukan akan kecundang. Andai panglima gagah berani, arif menelah sifir musuh, tangkas mencatur langkah dan tingkah, pasti maranya tak akan patah.
28. Begitulah Presiden parti kita, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Jiwanya kental membelah ombak cabaran, tidak goyah dilanda taufan fitnah yang tidak berkesudahan.
29. Dengarkanlah YAB Dato’ Sri Presiden, setia Wanita tidak bertepi, percaya Wanita tidak ternafi, sokongan Wanita tidak akan terhenti. Teruskanlah memimpin kami, kibarkanlah panji aspirasi, pandulah transformasi yang telah dijanji.
30. Kepada YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO serta saf kepimpinan UMNO, tekad Wanita terus
teguh menyokong, memastikan barisan yang diluruskan lebih 70 tahun lamanya ini, terus tenang dan padu, memecah lontaran-lontaran hasutan, yang mencemburui ikatan kekuatan parti ini.
31. Saya juga ingin memetik kenyataan Dato’ Sri Hishammuddin yang menekankan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, pada pemilihan parti akan datang, tiada ditandingi, demi perpaduan dan muafakat, serta kestabilan parti. Wanita sokong pendirian dan cadangan YB Dato’ Sri Hishammuddin yang penuh hikmah dan bijaksana.
32. Kepada kepimpinan parti, Wanita mohon, teruslah menyokong pergerakan kami, dalam menjayakan apa jua perancangan, dan gerak kerja yang dijalankan, agar manfaatnya terus diterima rakyat dan Negara.

Terima kasih daun keladi,
Jasamu Tuan lekat di hati,
Eh nanti, belum habis lagi,
30 peratus jangan hanya di jari!

DSCN2023

BAHAGIAN 2
JALINAN RAKYAT PLUS (JR PLUS):
JENTERA BERSEPADU PILIHANRAYA

Sidang perwakilan yang budiman,
33. Ucapan terima kasih kepada YAB Presiden, bilamana bergemuruh Dewan Merdeka tahun lalu dengan standing ovation untuk kita semua.
34. Sesungguhnya, tulang belakang parti ini rasa amat dihargai dan dihormati. Semangat membara itu kami bawa untuk semua Jalinan Rakyat di seluruh pelusuk negara.
35. Pada April tahun ini pula, Wanita diiktiraf lagi. Kita diberi amanah meneraju pasukan yang lebih besar untuk Pilihanraya Umum ke-14 nanti. Jalinan Rakyat Plus atau JRPlus adalah rejimen jentera bersepadu pilihanraya, yang direalitikan oleh YAB Presiden parti.
36. Ini membawa petanda bahawa, banyaknya kita bukan umpama buih di lautan, sebaliknya bergabung menjadi sebuah gelombang yang menggunung, mengharung badai fitnah dan tohmah, demi Negara yang tertegak gagah.
37. Harapan disandarkan kepada kita Wanita, Ibu Terbaik Bangsa ini untuk mengemudi JRPlus akan kita pikul dengan penuh kesungguhan.
38. Wanita berikrar, untuk PRU-14 nanti, bersama anak-anak Pemuda Puteri, ganding sama parti komponen Barisan Nasional, dan bergabung dengan mereka yang berkongsi aspirasi YAB Perdana Menteri, kami akan jadi pencari undi,
penentu undi, perayu undi, pengekal undi, hatta pemecah undi di mana yang perlu.
39. Bak kata Abraham Lincoln, “a house divided by itself cannot stand”. Insyaallah, selagi kita berdiri atas nawaitu yang satu, demi agama, bangsa dan Negara, UMNO terus kukuh mengemudi pertiwi.

BAHAGIAN 4
ROH IBU TERBAIK BANGSA

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
40. Sedari awal permulaan zaman, wanita telah dimuliakan. Betapa indah perancangan Tuhan, Siti Khadijah, isteri Rasulullah, wanita yang menjadi insan pertama menerima seruan Islam, ketika junjungan besar Rasulullah SAW mencari kekuatan menyebarkan agama Allah.

41. Kemuliaan ini menjadi pengertian betapa wanita dikurnia kebijaksaan memilih kebenaran, kekuatan meresap ketidaktentuan, kesetiaan menghadapi tekanan.
42. Tahun lalu, gegak gempita dewan ini dengan sorakan Ibu Terbaik Bangsa. Setahun, roh Ibu Terbaik Bangsa ini
menusuk ke seluruh jiwa jentera kita. Membawa petanda, Wanita hari ini sudah luar biasa.
43. Hari ini, yang teguh menjadi tulang belakang parti, itulah wanita. Yang setia membenteng parti, itulah wanita.
44. Yang teguh membina muafakat, itulah wanita. Yang cekal meniup semangat , itulah wanita,
45. Dengan 1.4 juta ahli, inilah keahlian politik Wanita yang terbesar dalam sejarah.
46. Sokongan akar umbi hari ini juga amat luar biasa. Sokongan ini juga paling kuat dalam sejarah.
47. Dengan kekuatan inilah, kita akan berhadapan Pilihanraya yang paling hebat dalam sejarah. PRU-14.
48. Ini medan yang akan kita tempur, dan janji Wanita, UMNO dan Barisan Nasional tidak akan pernah gugur.

BAHAGIAN 5
SUMUR BAKTI WANITA

Ibu Terbaik Bangsa yang mulia,
49. Kita sudah melalui perjalanan yang panjang. Dari Jabatan Kaum Ibu, kepada Pergerakan Kaum Ibu, kini kita dikenali
Pergerakan Wanita UMNO.
50. Jika dikira pada usia, Wanita UMNO sudah boleh diibaratkan seperti berlian. Berlian hanya terbentuk dari tekanan karbon yang tinggi. Demikianlah jerih payah yang pernah wanita lalui. Berlian dalam bahasa Greek disebut Adamas, yang bermaksud mustahil untuk dijinakkan. Itulah sebenar-sebenar resmi juang wanita. Amat mustahil untuk
ditundukkan.
51. Hari ini, Pergerakan Wanita UMNO didukung oleh ahli berdaftar seramai 1,408,746 orang ahli. Satu jumlah yang besar dan menggerunkan lawan. Dengan kekuatan ahli seramai inilah, wanita terus melakar satu demi satu pencapaian, melalui gerak kerja berimpak tinggi.
52. Siapa tidak kenal, Skuad Sayang tidak ada tandingannya. Tidak ada mana-mana gerakan yang sepantas Skuad Sayang. Turun, naik, redah, daki, dan namakan apa saja, demi rakyat, wanita tanam semua alasan. Skuad Sayang kita terus cekal bermandi hujan, bersidai panas, masuk ke setiap kampung, berlecah, berbecak, berjauhan dengan
anak dan suami demi curah bakti kepada pertiwi. Ini semua kita lakukan kerana kita mahu UMNO terus subur di setiap daun pintu yang kita selak.

53. Skuad agama kita, Skuad An-Nur terus menjadi jemaah yang memurnikan program keagamaan di akar umbi. Kelas pengajian qasidah antara usaha oleh Skuad An-Nur Kebangsaan.
54. Advokasi dalam menentukan hak wanita terus menjadi perhatian Wanita UMNO. Resolusi Sidang Meja Bulat Syariah masih diusahakan, semoga dapat direalisasikan.
55. Penyeragaman undang-undang Syariah, perundangan perwarisan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah menjadi agenda utama Wanita UMNO untuk dijuarai.
56. Penubuhan Syariah Bar Council yang masih tertangguh tetap ditunggu menjadi kenyataan.
57. Program akar umbi Wanita UMNO melangkaui batas bangsa, umur dan latarbelakang terus dipergiatkan lagi seperti:-
• Women Power Talk bagi Wanita Professional,
• Pameran Wanita Kreatif bagi usahawan wanita,
• Anugerah Nadi Negara untuk anak muda,
• Karnival Kesihatan tawar pelbagai pemeriksaan kesihatan,
• Skuad Penerangan & Media untuk berkongsi info terkini dan;
• Serikandi bagi mengupayakan wanita dengan kemahiran berkualiti.
58. Selain itu, kita juga masih lagi meneruskan projek Komunikasi Wanita Nasional (KAWAN) untuk menyuburkan integrasi antara kaum. Dimulakan dengan kelas Bahasa Mandarin pada 2015, kini diteruskan dengan kelas Bahasa Tamil dan Arab pada 2016. Berbagai bangsa, berkongsi bahasa, memang bahagia. Insyaallah, KAWAN akan
diteruskan dengan program inovatif yang lebih segar tahun hadapan.
59. Seterusnya, dalam menyantuni sokongan dan memahami keperluan wanita di akar umbi, saya dan Naib bersama Biro Politik Wanita UMNO Malaysia telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara melalui Kembara PRU-14 dan Kembara Ibu Terbaik Bangsa PRU-14 (KITA-14). Santunan kami untuk mendengar, melihat dan merasai sendiri setiap langkah, walau bukan mudah, wanita tak kenal erti lelah. Pengalaman saya berkereta dari Libaran ke Kota Belud, dan kemudiannya merasai perjalanan dari Jeli ke Ketereh, buat saya rasa kagum dengan kekentalan semangat puan-puan di akar umbi. Semoga Allah sentiasa merahmati.
60. Dengan sekian banyak program yang wanita UMNO jalankan, saya pasti, rakyat bijak menilai, antara khidmat bakti wanita yang tulus berbanding fitnah dengki pembangkang yang merosakkan.

BAHAGIAN 6
GALAXY OF STARS WANITA MALAYSIA

Puan-Puan Sidang Perwakilan yang dirahmati Allah,
61. Dalam lapangan yang lebih luas, peranan dan fungsi wanita di Malaysia telah diberi pengiktirafan oleh Tabung Kewangan Dunia.
62. Wanita UMNO ingin merakamkan setinggi terima kasih, kerana di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, kerajaan berjaya menghasilkan 35.8 peratus wanita sebagai pembuat dasar dalam sektor awam.
63. Jika dahulu, Wanita UMNO pernah dengan lantang memperjuangkan pembabitan wanita dalam pengurusan tertinggi sektor swasta, hari ini kita sudah melangkau angka 30 peratus itu.
64. Wahai YAB Dato’ Sri Presiden, hati wanita tersentuh, jiwa kami terharu bila Dato’ Sri umumkan kepada dunia bahawa, 2018 menjadi tahun Malaysia memperkasakan wanita.
65. Dalam pembentangan ibu segala bajet baru-baru ini, wanita bukan sahaja diberi perhatian khusus dari segi peluang meningkatkan kewangan keluarga, malah wanita turut diberi perhatian untuk mengecapi kualiti hidup yang lebih baik, dari segi fizikal dan moral.
66. Sebagai Perdana Menteri, Dato’ Seri juga telah memastikan wanita Malaysia mendapat manfaat dalam kebanyakan inisiatif yang diperuntukkan dalam Bajet 2018. Ikhlas dari hati, terima kasih kami ucapkan, budimu tuan tersimpul rapi.
67. Satu lagi catatan manis dalam Bajet 2018, dana RM20 juta diberikan kepada MyWin Academy untuk mengadakan program latihan dan keusahawanan, antaranya untuk program Performance Empowerment Acceleration Knowledge atau PEAK, yang merupakan tonik terbaik buat wanita. Ia pasti membakar semangat MyWIN Academy untuk menjadi sebuah akademi unggul, yang menghasilkan pemimpin wanita yang berinovasi, bagi menjana nilai ekonomi dan sosial Negara.
68. Oleh itu puan–puan semua, saya mahu kita sedar, apa yang kita miliki hari ini bukanlah umpama derai-derai emas, sebaliknya ia sudah membentuk butir emas dan permata.
69. Hari ini di balik bangunan yang teguh, wanita terus membina pengaruh. Lihat saja Dato’ Mohaiyani Shamsudin di Maybank, Datuk Hafsah Hashim di SME Corp. Dato’ Nor Azita Abdul Rahman di TEKUN, Datuk Rohana Rozhan di Astro dan terkini, Jesicca Chiew, Timbalan Gabenor Bank Negara, wanita yang mengemudi organisasi besar di
Malaysia.
70. Wanita turut menawan angkasa. Aireen Omar mengemudi AirAsia, Kapten Norashikin Tan Sri Onn, wanita pertama terbangkan pesawat komersil dan Patricia Yap, juruterbang wanita pertama pesawat tempur di Asia.
71. Kita juga tak kurang hebatnya, kini kita mempunyai dua wanita yang menjadi Setiausaha Politik, menjaga dua orang pemimpin tertinggi Negara di Pejabat Perdana Menteri dan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

72. Saya yakin selepas PRU-14 ini, lebih ramai lagi Wanita akan diberi tempat menjadi ahli Jemaah Menteri, tidak ketinggalan juga di dalam parti UMNO kita sendiri, wanita selayaknya menduduki jawatan-jawatan yang tinggi dan bermakna, samada di peringkat kebangsaan atau di Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri.
73. Menyedari hakikat ini, Wanita UMNO Malaysia menganjurkan Asean Conference on Women in Politics (WIPKL 2015) di peringkat Asean dan International Conference on Women in Politics (WIPKL 2017) di peringkat antarabangsa, yang baru sahaja selesai kelmarin. WIPKL 2017 disertai delegasi dari 18 buah Negara, mewakili 27 buah parti politik. Melalui WIPKL, Wanita terokai evolusi kematangan politik yang menembusi dunia luar.
74. Wanita akan terus perjuangkan kesaksamaan substantif dan menjadi perintis ke arah diskriminasi sifar terhadap wanita melalui kebijaksanaan teknologi.
75. Wanita juga akan menjadi ejen pendesak di peringkat kerajaan dan parti untuk meluaskan ruang wanita dalam politik.
76. Wanita tidak akan ketinggalan untuk terus mendakap kemajuan teknologi terutama dalam cara berkomunikasi agar
kita terus duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, dengan sesiapa sahaja, dalam apa jua bidang yang diceburi.
77. Inilah antara persetujuan yang kita ikatkan bersama rakan-rakan wanita politik dari seluruh dunia dalam resolusi
WIPKL 2017.
78. Di Mauritius Presidennya adalah wanita. Naib Perdana Menteri juga seorang wanita. Speaker Parlimennya juga
seorang wanita. Hari ini, Republik Mauritius antara negara yang meletakkan pemimpin wanita di tempat tertinggi
pentadbiran Negara.
79. Palestin juga mengiktiraf pemimpin wanita apabila melantik seorang wanita sebagai Gabenor Ramallah dan Al-Bireh. Kita bertuah kerana kelmarin, Gabenor ini dan Naib Perdana Menteri Mauritius ada bersama-sama kita di WIPKL 2017.
80. Di majlis yang sama juga, berita gembira diterima oleh wanita di seluruh Malaysia. YAB Perdana Menteri dengan penuh tegas menyatakan harapan untuk menentukan sekurang-kurangnya 30 peratus senator di Dewan Negara terdiri daripada wanita apabila in shaa Allah Barisan Nasional menang dan mendapat mandat yang besar pada PRU-14 nanti.
81. Beliau juga sekali lagi menegaskan tentang sasaran untuk 30 peratus wanita sebagai anggota lembaga pengarah syarikat senarai awam (PLC). Setinggi keyakinan kami letakkan terhadap YAB Perdana Menteri untuk mecapai semua yang disasarkan ini.
82. Saya berdoa dan berharap agar kita semua terus berusaha, supaya wanita tidak akan dikesampingkan lagi dari tempat-tempat pembuat keputusan dalam arena politik Negara.
83. Semua pencapaian ini, tidak akan dapat dicapai jika kita, pergerakan wanita serta seluruh wanita di luar sana, tidak
bangkit memperjuangkan hak wanita memimpin negara.

84. Malah di kesempatan bersejarah ini juga, seluruh pergerakan wanita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datin Seri Rosmah Mansor, kerana ‘brainchild’ program PERMATA beliau, kini berjaya menjadi mercu tanda intelek bangsa.
85. PERMATA kini menjadi gedung kelahiran para ilmuan dan cerdik pandai anak Malaysia. Inilah sebenar-benar khazanah yang kita miliki.
86. Wanita juga berbangga, kerana Datin Seri lah yang mendorong kepada kewujudan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan seterusnya usaha penubuhan Mahkamah Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak diwujudkan. Ini juga satu tanda bakti yang akan terus dikenang.

DSCN1926

BAHAGIAN 7
FASA EVOLUSI WANITA UMNO

Serikandi wanita yang mulia,
87. Ini jalan kita, di hujungnya sebuah lebuh raya yang luas, sebuah jalan yang panjang, sebuah saujana yang terbentang.
88. Kita akan terus membinanya dengan keringat kita. Lebuhraya inilah yang akan dinikmati oleh generasi dan anak bangsa masa depan. Justeru, kita harus bergerak sebagai sebuah pergerakan yang matang dan berwawasan.
89. Ada 4 fasa utama yang perlu lalui. Hanya ini jalan yang akan meningkatkan kecelikan kita dalam politik.
90. Fasa pertama adalah directing. 50 tahun dahulu, Khadijah Sidek telah berjaya mengarah beribu kaum ibu turun berjuang dan berkorban. Ketika ini, wanita bertindak melalui arahan sepenuhnya dari ketua.
91. Kemudian, kita beralih kepada zaman ‘developing’. Zaman di mana seorang demi seorang pemimpin wanita lahir dari pelbagai penjuru. Fasa ini kritikal kerana waktu itu kita sedang membina sebuah negara. Wanita UMNO adalah pergerakan yang paling cekal membangunkan pemimpin wanita.
92. Tahun 90-an hinggalah ke alaf baru, kita melalui fasa sokongan atau supporting. Wanita UMNO kekal di hadapan untuk terus mendukung keterlibatan wanita di peringkat tertinggi.
93. Puan-puan, saya suka nak ingatkan, perjuangan Wanita UMNO lah yang memangkin kelahiran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat atau KPWKM pada tahun 2001. KPWKM khusus diwujudkan untuk menjaga kepentingan kita wanita. Dari situ, kita berjuang lagi, pindaan perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan pada
tahun 2001 mengelakkan berlakunya diskriminasi gender dalam semua undang-undang dan peraturan kerajaan.
Alhamdulillah, kita berjaya.

94. Kini kita teruskan usaha mengangkat wanita, bermula dengan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam sektor awam dan pembuat dasar kerajaan sehinggalah sektor swasta. Hari ini, kita angkat 3 jari, mahu sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai calon pilihanraya.
95. Kini wanita hanya mewakili 10.81 peratus iaitu 24 daripada 222 jumlah ahli Parlimen. Manakala di Dewan Negara, hanya diwakili oleh 22 peratus wanita sahaja. Wanita mohon biarlah lebih besar dan lebih cantik angka untuk wanita
menjadi calon pilihanraya pada PRU-14 nanti.
96. Puan-puan, kita wanita telah dipercayai dan diyakini sebagai jentera terkuat parti untuk menangkan pilihanraya. Wanita UMNO ada wanita berpengalaman, wanita bijaksana, wanita profesional, wanita muda, komited dan berdisiplin
tinggi.
97. Ini ramuan terbaik dalam mana-mana organisasi. Takkan tiada 30 peratus di antara wanita-wanita hebat ini yang layak nak jadi calon pilihanraya yang boleh menang?
98. Sudah pasti akan timbul rasa kecewa di sudut hati jika sasaran 30 peratus calon wanita tidak dapat dicapai pada PRU-
14 nanti. Tetapi saya yakin YAB Perdana Menteri akan buat keputusan terbaik demi kemenangan besar untuk Barisan Nasional.
99. Fasa yang terakhir, adalah fasa pemerkasaan wanita atau empowering. Fasa yang akan memastikan setiap ahli wanita harus bersuara, berfikir dan bekerja sebagai seorang pemimpin.
100. Pada apa jua peringkat, wanita akan dihakupayakan untuk terus bertindak secara mandiri dalam ruang kepimpinannya.
101. Setiap 1.4 juta ahli wanita adalah pemimpin. Pemimpin yang harus turun ke lapangan menggerakkan inspirasi parti.
102. Menukar kaca menjadi emas, menukang kelikir menjadi intan.
103. Justeru, perhalusilah kepimpinan kita kepada 4 kelompok ini.
104. Pertama – khabarkan kepada generasi muda. Wahai anak masa depan bangsa, ingatlah ibu-ibumu tidak akan pernah melepaskan genggaman tangan mu, tangan-tangan inilah yang akan terus setia memimpinmu.
105. Kedua – rakan-rakan pejuang Wanita komponen. Teruslah berjuang mempertahankan Negara, teruslah kuat mempertahankan Barisan Nasional, jangan sesekali gentar dan gusar. Bergerak sederap kita menghalau musuh pengkhianat Negara.
106. Ketiga – buat wanita. Perjuangan kita belum berakhir, masih banyak yang perlu kita untuk terus berdiri dan menggapai apa yang kita kecapi. Ibu Terbaik Bangsa ini berjanji, selagi hayat dikandung badan, selagi itulah hak wanita akan dipertahan.
107. Keempat – buat seluruh rakyat. Keringat kami adalah untuk kalian. Bakti kami adalah untuk kalian. Kesungguhan kami adalah untuk kalian. Tidak ada sesuatu yang lebih bahagia bagi seorang Ibu, selain melihat setiap satu daripada kalian mengukir senyum, berdiri di sebuah tanah merdeka yang aman dan makmur.

BAHAGIAN 8
ERA POLITIK MILINEA

Para perwakilan serta hadirin sekalian,
108. Hari ini dunia sudah berbeza, semuanya berubah dengan pantas dan sekelip mata, mahu tidak mahu kita sudah berada di era Revolusi Industri 4.0.
109. Manusia bukan lagi bercakap tentang kepintaran manusia, mereka bercakap tentang kepintaran mesin, robot dan sistem. Artificial intelligent ini telah menjarah kepada kita satu makna, samada ada kita berubah atau kita diubah.
110. Dahulu kita ada EQ untuk mengukur emosi, kita ada IQ untuk mengukur kecerdasan minda, kita ada SQ untuk mengukur kekuatan spiritual, dan hari ini dunia sedang bercakap tentang digital quotient atau DQ bagi mengukur kecerdasan digital.
111. Untuk itu dalam politik, wanita mesti menggunakan kelebihan DQ untuk menjadi pemimpin yang bertransformasi dan berinovatif serta mampu memiliki political quotient kita sendiri.
112. Ia penting untuk memastikan cara kita berfikir, cara kita bertindak, dan cara kita memberi maklum balas pada rakyat, agar sentiasa matang dan terpimpin.
113. Kita sudah memiliki sentuhan, kerana itu pembangkang takut dengan gerak kerja kita di akar umbi, namun dalam era politik millenia, kita kena bijak bertindak. Kita mesti pegang pada empat tunjang yang kita miliki.
114. Pertama, PEDANG KEBERANIAN. Keberanian dalam politik hari ini bukan diukur pada panjangnya pedang, tetapi bagaimana cara kita menghunusnya. Janganlah kita takut kepada apapun kekuatan lawan dan percayalah pada
pedang yang kita miliki.
115. Kedua adalah PERISAI KESETIAAN, inilah benteng inilah pertahanan. Kerana itu dalam peperangan politik, apabila parti kita diasak, kesetiaanlah yang menjadi perisainya. Apabila pemimpin kita diasak, kesetiaanlah perisainya. Apabila bangsa kita diasak, kesetiaanlah perisainya. Ingat puan-puan semua, kita tidak akan sesekali melucutkan perisai kesetiaan ini dari tangan keramat kita.
116. Tunjang yang ketiga adalah BAHTERA SATRIA. Inilah pengemudi kita untuk meluncur membelah halangan. Selagi kita semua berada dalam bahtera yang satu, dipimpin nakhoda yang satu, pasti akan temui destinasi kemenangan.
Ingat selagi belum menang, layar bahtera tidak akan dilabuh. Makin kuat angin fitnah bertiup, makin tinggi layar kebenaran akan dikibar.
117. Keempat adalah STRATEGI PERANG. Bukalah mana-mana sejarah sekalipun, inilah yang menjadi penentu kemenangan. Strategi politik era millenia tidak akan sama dengan perang politik sebelumnya, kita harus ke hadapan
dengan yakin dan bijaksana.

118. Hari ini, saya nak nyatakan keharuan dan rasa bangga. Saban hari, saya buka mata, wanita yang saya ketuai bukan hanya berjuang di bandar dan desa tetapi juga di alam maya. Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Blog dan Whatsapp jadi senjata wanita lawan fitnah pembangkang.
119. Saya bawakan kisah mujahidah wanita yang agung, Asma’ Binti Yazid Bin Sakan. Beliau merupakan seorang ahli hadis yang mulia, dengan agama yang bagus dan petah lidahnya sebagai ahli debat yang amat disegani.
120. Semasa perang Yarmouk, Asma’ seperti muslimah yang lainnya, menyokong para pejuang muslimin untuk
menyediakan senjata, memberikan minum dan mengubati luka para mujahidin.
121. Namun, apabila perang semakin memuncak, Asma’ tanpa ragu dengan berbekal pancang khemah, meluru ke medan
perang, memukul musuh ke kanan dan kiri, hingga terkorban sembilan tentera Romawi.
122. Demikianlah, semangat juang mujahidah wanita yang perlu kita Wanita UMNO miliki. Perjuangan kita sudah sampai ke
kemuncak. Kita pikul panji PRU14 hingga menang! Namun berundur tidak sekali!

BAHAGIAN 9
SETIA DI SISI NAKHODA

Sidang perwakilan yang mulia,
123. Satu perkara saya pasti semua rakyat mengakuinya. Dato’ Sri Najib adalah pemimpin yang berjiwa besar. Beliau tahu
mengasingkan waktu bila musuh harus ditentang dan waktu bila pekerti harus dijulang.
124. Saya teringat bagaimana kisah seorang pemimpin Islam Salahudin Al Ayubi. Ketika Perang Salib, tiba-tiba beliau
mendapat khabar, bahawa Jeneral dari pasukan musuhnya sedang sakit. Di suruh para tentera berhenti berperang.
Pada malamnya, Salahudin menghantar doktor terbaik untuk merawat Jeneral musuhnya.
125. Puan-puan, ini bukan kecil punya jiwa. Demikianlah pemimpin yang kita miliki hari ini. Jelas kita lihat jiwa besar
pemimpin BN kita semasa banjir besar melanda Pulau Pinang baru-baru ini.
126. Dato’ Sri Najib sendiri turun bersama isteri, meredah air banjir di Bukit Mertajam, merasai sendiri kesusahan rakyat di
sana. Siap umum bakal peruntukkan projek bernilai 1 bilion untuk mitigasi banjir di negeri pembangkang tersebut.
127. Sebelum itu, pukul 3 pagi Datuk Seri Zahid jawab panggilan Lim Guan Eng dan terus hantar bantuan. Dato’ Sri
Hisham juga kerah beribu anggota pertahanan bantu segera selamatkan rakyat Pulau Pinang.
128. Apa akan ada pemimpin-pemimpin seperti ini dalam DAP atau PKR atau PBBM? Pemimpin yang rela mengenepikan
emosi, kemarahan dan kebencian. Menggantikan ia dengan bantuan dan pertolongan tanpa syarat?
129. Didikan UMNO melahirkan pemimpin berjiwa besar. Selagi tali bersatu, bersetia, berkhidmat dipegang kejap pemimpin
dan ahli UMNO, selagi itulah mereka akan terus berjiwa besar.

130. Sekali dilepas genggaman ini, mengkhianat perjuangan parti, lihat sendiri buktinya sekarang, tiada kesatuan, tiada
kesetiaan dan tiada lagi khidmat bakti yang dicurahkan. Hanya propaganda menjadi mainan.
131. Puan-puan, kita perlu tolak halangan-halangan ini yang mensabotaj tekad kita meneruskan perjuangan agenda
bangsa.
132. Tanggungjawab kita, selamatkan rakyat di luar sana dari tergolong dalam golongan ghurur. Elak mereka terus tertipu
dan terpedaya. Jika kita tidak berjaga-jaga, retak kesepaduan bangsa, pecah belah Melayu dan bumiputera jadinya.

BAHAGIAN 10
MUSUH TERUS MENERPA

Barisan Ibu Terbaik Bangsa sekalian,
133. Puan-puan, lihatlah baju yang kita pakai. Putih inilah kesucian. Merah inilah keberanian, yang membakar semangat
kita berdekad lamanya.
134. Kita Wanita UMNO, kita Ibu Terbaik Bangsa. Belum pernah ada dalam sejarah kita menyerah.
135. 70 tahun yang lalu, tangan inilah yang telah meleraikan gelang emas demi sebuah kemerdekaan.
136. 70 tahun yang lalu, kaki inilah yang melangkah, bersama sekeping peta dan sehelai bendera, ke seluruh pelusuk
desa.
137. 70 tahun yang lalu, keringat inilah yang dikerah, menjadikan Wanita tulang belakang parti yang tegak bermaruah.
138. UMNO hari ini bukan hanya sebuah parti, kita dewasa sebagai sebuah mercu tanda kebebasan bangsa.
139. Kita jaga orang Melayu dan Bumiputera, kita bela dan pertahankan.
140. Saya nak bertanya pada puan-puan, apa kita sanggup menggadaikan kebebasan, kemakmuran, keamanan yang kita
kecapi hari ini?
141. Apa kita nak biarkan Melayu dan bumiputera menjatuhkan bangsa sendiri sedangkan kita tahu ini matlamat DAP untuk
melemahkan dominasi politik orang Melayu di tanah sendiri.
142. Ingat, selagi wanita adalah wanita, selagi itu UMNO tidak akan tumbang. Selagi itu Melayu takkan hilang.

Puan-puan Sidang Perwakilan yang mulia,
143. Peperangan yang diwar-warkan telah tiba. Peperangan yang kita tidak boleh sesekali alpa, jemu, bosan, cuai dan
khilaf.
144. Sifir politik mudah. Kata Sun Tzu, kita perlu tahu siapa musuh kita, bagaimana musuh kita berfikir dan sejauh mana
mereka boleh bertindak.
145. Hari ini, musuh kita datang dengan segerombolan Pakatan.
146. Pakatan yang harapannya ibarat menunggu bulan jatuh ke riba, pakatan yang harapannya sering berubah-ubah,
pakatan yang harapkan pegar, pegar makan padi, pakatan yang hakikatnya langsung tak boleh diharap.
147. Saya nak tanya pada puan-puan, bagaimana nak pimpin sebuah negara kalau seorang kata ke kiri dan seorang kata
ke kanan.
148. Bagaimana nak pimpin negara, kalau satu kapal dua nakhoda. Satu enau dua sigainya.
149. Hari ini, semua yang tiada tempat dalam BN, tidak kira yang dulu dengan BN, tapi pilih nak keluar BN, yang tak
mampu hancurkan BN, yang dah lama simpan dendam, mahu melihat BN tumbang, berkumpul dalam lubuk yang
sama.
150. Mereka tak sedar, dalam lubuk itu ada buaya yang besar. Ekornya menunggu masa untuk melibas.
151. Inilah DAP. Parti Dinasti Lim yang diperintah sejak tahun 1966 iaitu 52 tahun yang lalu. Tak pernah bertukar, tak
pernah terusik Maharaja Lim menakluk politik DAP.
152. Kini, anak kesayangan pula dididik jadi orang kanan DAP mencatur kejatuhan Melayu dan Bumiputera.
153. Hati-hati puan-puan, DAP ini musuh politik paling bahaya. Musuh negara yang paling licik. Silap mata politik mereka
penuh dengan muslihat. Guna Melayu nak hancurkan Melayu. Peralat Melayu nak bunuh Melayu.
154. Mereka mencatur satu demi satu di belakang tabir pembangkang.
155. Ini semua open secret dalam politik. Parti serpihan yang sama memaut pada ekor DAP ini, PKR, PBBM, Amanah,
bukan mereka tidak tahu mereka dipandir kadukkan, mereka sedang dicucuk hidung, sedang dicaturkan.
156. Tapi demi kuasa, mereka pejamkan mata, pekakkan telinga. Sanggup mereka bersekongkol dengan musuh politik
yang dulu habis-habisan ditentang.
157. Kita semua tahu, memang DAP kata depa tak mahu jadi Perdana Menteri, mereka tak mahu kuasa, tapi jangan kita
lupa apa yang berlaku di Perak, Penang dan Selangor.
158. Walaupun bukan DAP menjadi Menteri Besar, 999 tahun pemilikan tanah diberi secara percuma kepada bukan
bumiputera di Perak. Tak cukup di Perak, di Penang juga katanya dah tiada tanah milik negeri.
159. Penjualan arak di kawasan komuniti semakin berleluasa, penganjuran pesta arak di Selangor, tak tahu nak kata apa.
Kini mereka sudah berani masuk campur dalam hal ehwal agama kita. Sampai mana lagi kita nak buat-buat buta?
160. Lihat sahaja struktur parti mereka. Jawatannya diturun-temurunkan. Macam keluarga mereka punya. Betullah bidal
orang tua, air cucuran atap, akan jatuh ke perlimbangan jua.

161. Sebagai contoh, Kerajaan BN bina Pulau Pinang. Megah terkenal seantero dunia.
162. Kita bina untuk orang Cina, orang Melayu, orang India dan semua bumiputera. Untuk Orang Malaysia duduk bersama.
Tiada prejudis politik. Tiada diskriminasi ekonomi.
163. Hari ini? Kalau puan-puan pergi ke Pulau Pinang, cuba tanya kepada orang Melayu, berapa keping tanah mereka
yang masih tinggal? Apa jadi pada tanah wakaf?
164. Tanya pada peniaga-peniaga kecil Melayu, apakah Pulau Mutiara masih menjadi tanah yang aman untuk mereka
mencari rezeki. Jentolak dah jadi mimpi ngeri, tak cukup rumah, gerai-gerai habis dilanyak tanpa simpati!

165. Saya sebagai anak Penang juga kecewa. Politik mereka halus dan membunuh. Mereka beli orang Melayu di masjid-
masjid, di madrasah-madsarah dan di sekolah-sekolah.

166. Mereka kata parti merekalah parti majmuk. Kononnya, meraikan setiap kaum di dalamnya. Tetapi lihatlah apa yang
berlaku dalam kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru, tiada seorang pun orang Melayu yang
dipilih oleh perwakilan.
167. Puan-puan, kenal Lim Guan Eng kan? Hari pertama sebagai Ketua Menteri, beliau kata beliaulah Khalifah Umar.
Khalifah Umar tidak akan sekali biarkan rakyatnya merempat dan terusir di tanah sendiri. Kini terbukti, rakyat Penang
menangis, merayu dari tiap tanah dan harta yang dirampas!
168. Ini baru satu negeri yang mereka perintah. Bayangkan kalau mereka memerintah satu negara. Mau habis tanah dijual,
merempatlah kita di bumi sendiri.
169. Saya nak tanya pada puan-puan. Yang hina raja-raja, agama dan hak keistimewaan kita itu?
170. Kalau hari ini, saya baca baris demi baris, helai demi helai laporan MAGERAN, saya percaya, PWTC ini akan runtuh
dengan suara amarah wanita! Betapa kita dicabar teruk saat itu.
171. Tapi kita bukan begitu, kita Ibu Terbaik Bangsa. Di tangan kanan kita akal yang bijaksana, di kiri kita setia yang kaya
wibawa.
172. Cuma saya tetap mau bilang sama DAP, sarang tebuan jangan dijolok! Sarang lebah jangan dirodok!
173. Kita tidak akan bakar kalau tak hangus, kita tak rendam kalau tak basah, kita takkan tetak kalau tak putus.
174. Wahai rakyat Malaysia, hakikatnya PRU-14 adalah raja kepada segala PRU! Saya nak ajak semua rakyat Malaysia di
luar sana bersama ahli-ahli UMNO, Wanita UMNO samalah kita bangun mempertahankan Malaysia.
175. Negara ini kita yang punya. Berdekad lamanya BN menang untuk Melayu dan Bumiputera, BN menang untuk Cina,
BN menang untuk India, BN menang untuk semua suku kaum di Sabah dan Sarawak . BN menang untuk semua
rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
176. Jika benar cintakan Negara, jika sungguh terus mahu bina Negara, jika patriotik kasihkan Negara, sekali ini khabarkan
kepada semua saudara mara, ahli keluarga dan jiran tetangga, Barisan Nasional lah yang mampu teruskan agenda
semua bangsa.

177. Rakyat Malaysia pilihlah, pilihlah dengan bijak, pilihlah dengan waras, pilihlah dengan hikmah. Tentukanlah, lebih baik
kita dipimpin Dato’ Sri Najib atau apa nasib kita diperintah Pakatan Harapan yang diketuai DAP? Mahu kekal Malaysia
bersama BN yang diterajui UMNO, atau diperintah Pakatan Harapan yang dibonekan oleh DAP.
178. Jangan biarkan bumi subur Malaysia ini tergadai dan jatuh ke tangan DAP! Jangan kita kira apa bangsa kita, apa
agama kita, apa adat kita, asal kita anak Malaysia, sokongan kita mesti untuk kerajaan sedia ada.
179. Benarkah di hadapan saya ini Srikandi Negara ? Benarkah di hadapan saya ini Ibu Terbaik Bangsa? Jika ya,
Bangunlah. Bangunlah wahai Ibu Terbaik Bangsa. Laungkan kesetiaan kita kepada Parti. Laungkan kesetiaan kita
kepada Presiden. Laungkan kesetiaan kita kepada saf kepimpinan sedia ada. Laungkanlah yang kita tetap akan setia.
Puan-puan, mari ke hadapan, rapat bersama saya. Ini masa untuk berperang. Perang yang kita mesti menang

BAHAGIAN 11
SEMBOYAN JUANG PRU-14

Ayuh wanita,
Ayuh srikandi mulia
Ibu Terbaik Bangsa!
Dongakkan kepalamu,
Tegakkan tubuhmu,
Jihadkan semangatmu,
Kibarkan jiwamu,
Asahkan akalmu,
Pasakkan hatimu,
Di belakang kita dendam yang membara,
Di hadapan kita musuh yang menggila,
Ini perang yang bukan kepalang,
Ini sumpah seorang pejuang
Ini perang yang mesti menang,
Kita tegakkan panji keramat,
Kita serap semangat Tun Fatimah,
Kita pinjam jiwa Tun Teja,
Kita perang… Lillahi Ta’ala.
Kita perang demi maruah
Kita perang demi bangsa
Kita perang mesti menang
Wahai petualang,

Ini amaran Wanita,
Sekali anak bangsa kami disentuh,
Siang malam Wanita rempuh.
Sekali Wanita perang, jangan siapa berani halang
Sekali Wanita perang, semua petualang pasti kecundang
Sekali Wanita perang, musuh tumbang baru pulang.
Biar berkecai jagat raya,
Biar terbelah langit angkasa,
Ini perang mesti menang
Wahai Ibu Terbaik Bangsa,
Gendang perang sudah dipalu,
Seruan jihad gegar berseru,
Pilihan kita hanya satu.
Perang mesti menang.
Perang mesti menang.
Perang mesti menang.
Hidup Wanita!
Hidup Wanita!
Hidup Wanita!
BN MESTI MENANG!!!
Wabillahittaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatukh
Sekian dan selamat bersidang!

Leave a Reply