PERPADUAN MENUJU PRU-14

PERPADUAN MENUJU PRU-14

padu

1. Perpaduan merupakan satu keperluan yang berkisarkan sebuah penyatuan, permuafakatan, kerjasama baik dan hubungan sebuah kumpulan.

2. Perpaduan amat penting dan berlaku secara semulajadi dalam masyarakat sekiranya masing-masing berfikiran positif, berfikiran rasional, bertoleransi, boleh di bawa berbincang serta menghormati di antara satu sama lain.

3. Perpaduan perlu menjadi teras perhubungan yang baik di antara satu sama lain, dan sekiranya berlaku perselisihan dan percangahan pendapat, yang tidak bersefahaman akan menjadi satu kumpulan yang kecil, kemudiannya, mereka yang berada dalam sesebuah masyarakat yang berada dalam kesatuan itu boleh berunding dan bermuafakat, berbincang dan bertindak menyelesaikan masalah dan berusaha mencari titik kedamaian.

4. Perselisihan itu adakalanya perlu untuk mendidik kita mendepani tekanan dan membuat keputusan yang difikirkan baik untuk mencari jalan pendamaian.

5. Perpaduan sukar dicapai sekiranya manusia kekal bersikap ego, sombong dan angkuh. Mereka yang merendah diri kebiasaannya memikirkan jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama.

6. Sesetengah situasi menjadikan pembuat keputusan terpaksa mengorbankan pertalian persahabatan kerana memikirkan kelompok yang ramai hasil dari perpaduan yang terbina.

7. Bercakap dan menyeru kepada perpaduan cukup mudah, tetapi sekiranya ianya melibatkan emosi amarah, sukar untuk kita beroleh permuafakatan. Adakalanya ia akan mengambil masa lama. Definasi kebenaran dari kacamata manusia hari ini ialah melalui media maya. Terdapat juga perselisihan diselesaikan melalui peredaran masa. Manusia menjadi tidak kisah bila waktunya, kerana mereka telah melihat kebenaran.

8. Boleh jadi yang dianggap menyeru kepada perselisihan itu punca masalah dan mereka yang mendapat sokongan pula beroleh kemenangan. Maka kesabaran juga boleh menjadi pencetus kepada perpaduan. Tidak melatah.

9. Begitu juga perpaduan di dalam parti yang dipupuk sejak sekian lama. Sejarah Perhimpunan Agung UMNO yang pertama di Istana Johor pada 11 Mei 1946 ketika itu telah membakar dan menyalakan semangat nasionalisme dan patriotisme bangsa Melayu untuk beroleh kemerdekaan.

10. Tiga momen penting wujudnya perpaduan yang jitu ketika itu ialah bangsa Melayu menentang penubuhan Malayan Union di tanahair ini. Keduanya ialah menaiktaraf pendidikan bangsa Melayu yang ketika itu yang paling tinggi bergelar askar. Ramai mengusahakan pertanian di kampung dan desa. Hanya sedikit bergelar cikgu. Momen ketiga ialah mengekalkan tanahair ini sebagai tanah pribumi bangsa Melayu.

11. Dua momen merupakan satu kejayaan jangka pendek dan semua perlu mensyukuri nikmatnya. Mungkin, kisah itu telah berlaku lama, berbanding hari ini kita berasa amat selesa, adakala kita terlupa bahawa kita pernah susah dan berada dalam keadaan yang getir dan genting.

12. Tetapi, mungkin juga kita lupa bahawa semangat dan roh penyatuan bangsa Melayu melalui UMNO di asaskan oleh keringat pantang mengalah pantang mengundur. Membujur lalu, melintang patah. Air dicincang tidak akan putus. UMNO akan terus dipertahankan, akan terus mara ke hadapan.

13. Jangan pernah kita lupa, jangan sekali kita leka apa lagi lalai menanggung amanah. Amanah di dalam UMNO tidak pernah dipinta.Tidak pernah dipujuk rayu. Amanah dan pertanggungjawaban kita sebagai ahli UMNO ialah kerana kita sedar, kerana kita beringat bahawa langit tidak selalunya cerah, mungkin mendung atau hujan berlaku di tengahari.

14. Namun, erti perpaduan yang diserapkan sejak di Istana Johor 71 tahun lalu, menjadi asas dan tiang seri yang perlu dikekalkan selamanya.

15. UMNO sebagai parti yang menunjangi dan mendominasi kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini satu asas, satu pengetahuan yang menjadi tanda aras bahawa tanahair ini milik bangsa Melayu yang perlu dipertahankan.

16. Sejarah telah membuktikan bahawa dua kejayaan telah berjaya dipenuhi melalui UMNO. Iaitu, menentang penubuhan Malayan Union dan melahirkan lebih ramai cerdik pandai dan golongan profesional untuk menjadi pentadbir dengan acuan sendiri tanpa dipengaruhi oleh kuasa luar yang pernah menjajah.

17. Beringatlah bahawa hampir 470 tahun negara di jajah bukan berlaku semalam. Jangan jadi Melayu Mudah Lupa.

18. Kehidupan dan kemajuan tanahair ini dari jerih dan kepayahan. Ingat jasa akar dan umbi yang menjadikan sebatang pokok yang rendang, dahan dan ranting yang kuat dan kukuh. Daun menghijau yang memberikan perlindungan dan oksigen yang baik buat kita.

19. Bertanyalah kepada diri, siapa yang menyiramnya. Siapa yang berperanan memastikan pokok yang rendang itu menjadi pokok yang boleh kita berlindung di bawahnya serta memberikan kehidupan yang sempurna.

20. Akar umbi merupakan entiti yang perlu dijaga dengan baik. Dari akar umbi terwujudnya wakil rakyat yang membawa suara dan naluri rakyat.

21. Sebagai wakil rakyat, anda hanya mewakili rakyat (akar umbi). Bergelar wakil bukanlah sesuatu yang besar dan dan berlagak kasta tertinggi. Wakil rakyat perlu mempunyai sikap rajin dan bermuhasabah diri. Perlu menjadi tokoh yang disegani.

22. Jangan menjadi tokoh yang dibenci, kerana sekiranya itu berlaku, maka akan pincanglah organisasi kepartian itu sendiri.

23. Tanpa UMNO, akar umbi dan wakil rakyat tidak akan kemana. Maka segala perselisihan dan pertelingkahan yang berlaku perlu berbalik kepada perkara asas iaitu, bangsa Melayu. Ianya berkisahkan taat setia yang kita lafazkan kepada agama, bangsa dan negara.

24. UMNO dan BN merupakan harapan besar buat rakyat untuk menumpang teduh. Prestasi dan kejayaan kita telah membuktikan bahawa dalam tempoh yang singkat, kita mampu membangunkan negara dengan acuan sendiri dan terbaik mungkin.

25. Kepercayaan dan keyakinan rakyat ke atas kepimpinan UMNO dan BN perlu diperbaiki. Mereka perlu didekati dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sekadar bercakap di program-program bukan lagi cara efektif. Perlu jumpa golongan ini secara bersemuka. Perlu ada komunikasi dua hala. Persoalan mereka perlu dijawab dengan berhemah, logik dan rasional.

26. Jika kita membiarkan golongan ini tertanya-tanya.. Nescaya, sokongan ke atas parti akan semakin berkurang. Dan jangan ada pihak “umpama gunting dalam lipatan” kerana ia akan menjadikan parti semakin parah.

27. Dengan persefahaman yang dibentuk dan memulihkan keadaan, boleh jadi mereka akan bertaut kembali di dahan kita.

Wasalam.

Najibqadry • 20 November 2017• 1.10am


 

Leave a Reply