SERANGAN MINDA MELALUI  MEDIA SOSIAL

Perkembangan teknologi komunikasi tanpa sempadan dunia siber membolehkan masyarakat berhubung keseluruh dunia dengan sekelip mata. Dunia siber menyediakan banyak kebaikan dan kelebihan serta memusnahkan segala jurang sempadan hingga kita mampu menjalinkan hubungan sosial, membincangkan isu-isu terkini mahupun berniaga dengan jayanya.

Namun begitu, banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh masyarakat terutamanya isu yang berkaitan dengan gejala sosial. Ini diburukkan lagi kerana masyarakat masa kini menjadikan alam siber sebagai sebahagian daripada cara hidup utama mereka. Kecuaian didalam menjaga maklumat peribadi mahupun mudah terpengaruh dengan janji-janji manis menyebabkan ada di antara kita yang telah dimanipulasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Maka kini kita sering mendengar kes-kes memilukan seperti terlibat dalam dunia pornografi, pelacuran, seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia.

Kumpulan Militan Negara Islam – IS atau DAESH – adalah antara contoh yang paling tragis. Mereka telah berjaya merekrut penganut Islam termasuk rakyat Malaysia dalam perjuangan songsang mereka. Mereka telah secara efektif memanfaatkan sepenuhnya media sosial dan propaganda atas talian. Hasilnya ada rakan-rakan kita yang telah terpengaruh dan bersama mengangkat senjata. Lebih memedihkan apabila terdapat kes wanita kita yang terpengaruh dan akhirnya menjadi mangsa perjuangan songsang, Jihad Cinta.

Propaganda yang dijalankan oleh DAESH adalah sangat teliti dan konsisten. Mereka berjaya memikat hati-hati yang memberontak melalui mesej kontra budaya dan anti arus perdana. Sehinggakan golongan yang terpengaruh lupa terhadap maksud dan konsep sebenar ‘Jihad’ di dalam Islam iaitu berusaha dan beramal untuk mengangkat kemuliaan Islam.

Sungguh malang apabila pengertian dan konsep Jihad dikaitkan dengan pembunuhan dan peperangan. Sedangkan Islam sebenarnya mengajak kita untuk berusaha sehingga berjaya, beramal untuk menjadi insan yang mulia, dan membantu antara satu sama lain demi mewujudkan masyarakat yang aman makmur.

Namun begitu, semua ini telah diputarbelitkan oleh DAESH yang bukan hanya membawa kecelakaan kepada pengikutnya, malah telah memalukan Islam serta umatnya diseluruh dunia. Begitulah kuatnya pengaruh dan kesan platform komunikasi abad ini jika ianya disalahgunakan.

Di tanahair pula, kita telah lama dilemas dan ditewaskan oleh propaganda lawan sehingga Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO dilihat dari sudut yang amat negatif. Serangan bertali arus serta konsisten sehingga ke hari ini akhirnya mendominasi pemikiran masyarakat di media sosial.

Pelbagai tohmahan dan gelaran negatif dilemparkan kepada kepimpinan negara. Masa untuk diam sudah lama berakhir. Masanya telah tiba untuk kita bersatu padu dan menjadi benteng kepada Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO di laman media sosial. Menjadi tanggungjawab kita untuk menentang segala fitnah dan tohmahan ini.

Namun begitu, bukanlah niat kita untuk turut sama menabur fitnah serta memberi gelaran jijik demi untuk memburukkan mana-mana individu. UMNO tidak pernah mengajar kita bersikap biadap. UMNO ditubuhkan berlandaskan perjuangan ikhlas untuk Agama, Bangsa dan Tanahair.

Kelebihan nyata Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO adalah pelbagai usaha dan program yang telah, sedang dan terus dijalankan untuk memajukan negara serta mensejahterakan kehidupan setiap rakyat Malaysia. Inilah landasan komunikasi yang harus digunakan oleh Barisan Nasional dan UMNO di dalam menangani fitnah dan tohmahan pihak pembangkang di alam siber.

Di sini saya ingin menyeru rakan-rakan sekalian untuk bersama-sama menjadi agen komunikasi media sosial di alam siber demi untuk menegakkan kebenaran dan menangkis segala fitnah dan tohmahan. Percayalah bahawa kita sebenarnya mempunyai lebih dari kemampuan untuk menewaskan mereka.

Oleh : Najibqadry  • 26 Oktober 17   • 5.20pm


Media Wanita Maya : Facebook | Instagram | Twitter

Leave a Reply