KEKELIRUAN TENTANG SYARIAT KHITBAH (BERTUNANG)

Bertunang dalam Islam adalah suatu amalan sunnah yang turut diuswahkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Ia adalah suatu pernyataan hasrat atau lamaran dari calun suami (Khatib) terhadap calun isteri (Makhtubah).

Khitbah diangap sah sebaik sahaja lamaran seorang lelaki itu dipersetujui. Majlis keraian dengan deretan dulang sebagai hantaran itu tidaklah menjadi syaratnya. Ia hanyalah adat semata-mata.

Tujuan bertunang adalah untuk memberi peluang kepada pasangan untuk bertakruf. Ia juga memberi peluang untuk tunang lelaki mendidik calun isterinya, samada secara langsung atau melalui wakil mahramnya supaya rumahtangga yang bakal didirikan akan jadi lebih serasi dan bahagia.

DALIL ATAU BUKTI DISYARIATKAN KHITBAH / BERTUNANG

Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya: ” tidak halal bagi kamu penjualan di atas penjualan orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain”.

Dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah saw bersabda: ” Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah/berkahwin, maka lakukanlah!!! “.

Jabir (perawi hadis di atas) berkata: ” aku telah bertunang dengan wanita dari Bani Salamah, aku telah bersembunyi tanpa dilihat oleh wanita itu sehingga aku melihat sebahagian dari ‘diri / tubuh badan’ wanita itu yang boleh membawa kepada kehendak dan kemahuan aku untuk menikahi atau mengahwininya”.

Hadis pertama melarang seorang lelaki meminang seorang perempuan yang sudah dipinang. Hadis kedua pula mengizinkan seorang lelaki melihat aurat bakal isterinya tanpa hijab sekiranya itu boleh menjadikan ia lebih ‘bersemangat’ untuk segera bernikah.

Kedua-dua hadis ini mengaitkan sunnah dalam amalan pertunangan.

 

NIKAH KHITBAH / NIKAH GANTUNG

Ini adalah satu amalan bertunang yang disyariatkan demi mengelakkan fitnah atau perbuatan maksiat. Ia berupa amalan pernikahan mengikut syariat biasa, namun pasangan suami isteri ini tidak tinggal bersama. Tanggungan nafkah juga tidak tertakluk kepada pihak suami.

Namun begitu, mereka dibolehkan melakukan hubungan kelamin kerana sudah sah sebagai suami isteri. Cuma status khitbah itu akan terbatal apabila sudah berlaku hubungan kelamin. Jika sampai melahirkan anak, maka anak itu juga merupakan anak yang sah.

Amalan ini menepati sunnah Rasulullah s.a.w., khususnya bagi khatib yang merasakan perlu berdamping rapat dengan calun isterinya atas tujuan mendidik tanpa membuka ruang kepada kemaksiatan.

Baginda Nabi s.a.w. sendiri nikah khitbah bersama Aishah r.a.h di mana hanya selepas 2-3 tahun baru ia tinggal serumah dengan baginda.

SALAH LAKU DALAM KHITBAH

1. Khitbah itu hanyalah ‘harus’ hukumnya (mengikut mazhab Shafi’e) atau sunnah mengikut pendapat lainnya. Di Malaysia, ada pula keluarga yang menganggap bertunang itu suatu yang wajib. Banyak terjadi di mana pertunangan tetap dibuat juga walaupun tidak sampai sehari sebelum hari pernikahannya. Kes sebegini adalah amalan adat dan mengikut hawa nafsu semata-mata.
.
2. Pertunangan dalam Islam tidak seharusnya di hebohkan. Namun hari ini ramai yang bertunang dengan mengadakan kenduri besar besaran. Ada yang sampai pasang 10 kemah. Ada yang disiarkan di tv, media dan sebagainya. Itu tidak termasuk nilai hantaran bersama puluhan dulang dan hiasan yang menyesakkan.

Diriwayat oleh Ahmad daripada Abdullah ibn Zubair r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Istiharkanlah pernikahan”. Hadis ini dihassankan oleh Sheikh Al-Albani dalam kitabnya Irwa’ Al-Ghalil

Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus, Baginda s.a.w. bersabda,

أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة

“zahirkanlah pernikahan dan sembunyikanlah pertunangan”

Ada yang mengatakan hadis ini dhoif dengan hujjah bahawa mengistiharkan khitbah juga ada baiknya iaitu untuk menghalang lelaki lain dari masuk meminang seorang perempuan yang sudah dipinang.

Antara buruknya pula ialah ia akan menjatuhkan maruah wanita apabila pertunangan itu dibatalkan.
.
3. Salah laku khatib yang ‘menganggap’ tunangnya sebagai ‘isteri’. Ramai sekali yang mengaku sudah bebas meniduri pasangannya sepanjang tempoh bertunang. Ironinya ramai yang terlanjur hamil dan perbuatan terkutuk itu turut mendapat restu keluarga. Inilah pasangan yang tidak menghiraukan hukum hakam dan bakal menjadikan rumahtangga penzina ini jadi huruhara.
.
4. Salah laku makhtubah yang enggan menerima teguran dan didikan ikhlas dari khatibnya. Setengahnya malah merasa rimas dan terkongkong. Apabila melibatkan tegahan untuk bebas bergaul dengan lelaki lain, mereka malah menuduh calun suaminya cemburu.

PERTUNANGAN SEBAGAI PENGUKUR KELAYAKAN CALUN SUAMI / ISTERI

Pertunangan hanyalah satu tempoh bertakruf dan penyesuaian diri melalui proses nasihat serta pendidikan. Ia bukan sekali-kali menjadi lesen untuk pasangan berkhalwat sehingga terjadi maksiat dan perzinaan.

Jika tidak mampu menahan nafsu, lebih baik lakukan nikah khitbah (nikah gantung), atau lebih baik lagi jika boleh dipercepatkan pernikahannya.

Lelaki yang benar-benar menghormati dan menyayangi calun isterinya akan berusaha untuk menahan nafsu dan tidak melakukan zina sewenang-wenangnya. Sebagai pemimpin, khatib harus tunjukkan contoh yang baik mengikut syariat. Sifat rakus dan melanggar hukum begini jelas menunjukkan ia bukan calun suami yang baik.

Mampukah seorang lelaki menasihati isterinya agar menutup aurat dan tidak melakukan zina selepas berkahwin jika dia sendiri telah mengajar isterinya berzina? Lebih malang lagi apabila pasangannya adalah seorang muallaf yang dahagakan didikan. Tidakkah amalan zina itu akan membuatkan wanita ini hilang keyakinan pada agama, malah akan menghina calun suaminya?

Oleh itu, tabiat khatib semasa bertunang seperti ini juga boleh dijadikan ukuran bagi seorang wanita dalam menilai kelayakan calun suami.

Makhtubah yang benar-benar menyayangi bakal suaminya akan mula menutup nafsu terhadap lelaki lain selepas bertunang. Berterusan melayani ramai lelaki akan membuatkan calun suami berjauh hati. Itu juga akan menjadikan hati makhtubah jadi berbelah bahagi.

Bersyukurlah jika calun suami anda rajin menasihati walaupun atas perkara kecil, termasuklah melarang anda rapat dengan mana-mana lelaki. Latihlah diri untuk mematuhi calun suami agar hubungan menjadi lebih serasi.

Cemburu tandanya sayang. Bersyukurlah jika anda dapat calun suami yang cemburu. Itulah lelaki yang mampu memimpin anda ke syurga kerana lelaki yang tidak cemburu terhadap perempuan di bawah tanggungannya dikatakan DAYUS dan tidak akan cium bau syurga.

Khatib harus jadikan sikap tunang anda sebagai ukuran. Jika nasihat anda sukar didengar, apatah lagi sering membantah dan melawan semasa bertunang, atau jika tunang anda masih galak melayani mana-mana lelaki, maka jangan teragak-agak untuk memutuskan hubungan dan segera mencari ganti.

Kepala batu akan menyebabkan pergeseran yang berapi. Itulah gambaran neraka. Akhirnya kalian akan bercerai juga. Oleh itu lebih baik berpisah semasa khitbah daripada berpisah selepas bernikah. Jika pertunangan itu dirahsiakan, tidaklah si gadis merasa malu atau jatuh maruah.

 

KESIMPULAN

Sebelum berkahwin, kita akan lihat segala yang indah-indah sahaja pada pasangan kita. Semua itu akan berubah wajah setelah kita bernikah. Kerana itulah disyariatkan khitbah.

Dalam tempoh bertunang lelaki boleh menghalusi sifat calun isteri. Ambil masa untuk meneliti baik buruk tunang sehingga sehalus-halus perkara, agar hubungan menjadi lebih serasi. Nasihatilah calun isteri untuk memperbaiki kelemahan diri sambil menguji ketaatannya. Jika menyerlah sifat degil dan kepala batunya, maka tinggalkanlah ia.

Wanita juga boleh menghalusi sifat calun suami. Lelaki yang bertanggungjawab, amanah dan berilmu tidak akan mengambil kesempatan meniduri anda sebelum bernikah. Ingatlah, setelah ternoda, anda akan jadi ‘sisa’.

Lelaki yang cemburu dan mengambil berat serta sering memberikan nasihat adalah calun suami yang hebat. Ingatlah bahawa lelaki yang tidak cemburu dipanggil DAYUS dan tidak akan mencium bau syurga.

Belajarlah merendah diri untuk mentaati calun suami. Tekadkan diri untuk bersikap jujur dengan mengakui hakikat yang anda sudah bertunang. Elakkan dari meneruskan hubungan dengan mana-mana lelaki agar hati anda tidak berbelah bahagi.
.
Semuga bermanfaat,

Sumber : Warga Rpwp


 

Leave a Reply