KENAPA LAMA SANGAT ?? – Di Sebalik Kaunter Pendispensan Farmasi Hospital & Klinik…

Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik kaunter pendispensan ubat di unit farmasi? Mengapa mengambil masa yang lama untuk menyediakan ubat-ubatan?

Proses dan prosedur pendispensan ubat di setiap fasiliti mungkin berbeza, namun, matlamat dan sasaran utama yang perlu dicapai tetap sama iaitu memastikan pembekalan ubat yang tepat berdasarkan amalan 5B, iaitu: –

  • Pengguna Ubat yang Betul
  • Ubat yang Betul
  • Dos yang Betul
  • Cara Pengambilan Ubat yang Betul
  • Masa Pengambilan Ubat yang Betul

Untuk memastikan matlamat di atas tercapai, beberapa proses kerja perlu dilalui sebelum ubat-ubatan dapat dibekalkan kepada pesakit.

1) Saringan Preskripsi

Pesakit kebiasaannya akan membawa surat preskripsi yang diterima selepas pemeriksaan doktor ke kaunter farmasi untuk mendapatkan nombor giliran dan seterusnya menunggu giliran dipanggil untuk mendapatkan ubat. Preskripsi yang diterima akan disaring oleh Pegawai Farmasi yang bertugas di kaunter tersebut untuk memastikan maklumat berkaitan amalan 5B lengkap pada preskripsi.

2) Pembetulan atau rujuk semula

Sekiranya preskripsi yang disaring bermasalah, pembetulan atau rujuk semula kepada doktor yang merawat perlu dilakukan. Langkah ini adalah penting untuk mengelakkan kemudaratan kepada pesakit yang disebabkan oleh kesilapan dalam pembekalan ubat. Rujukan semula perlu dibuat terutamanya untuk dos dan frekuensi pengambilan ubat yang melibatkan golongan kanak-kanak di mana ia memerlukan pengiraan dos yang tepat berdasarkan berat badan kanak-kanak yang dirawat. Dalam proses ini, Pegawai Farmasi akan menghubungi doktor yang merawat untuk rujuk semula masalah yang dikesan dalam preskripsi dan memohon kebenaran untuk membuat penukaran atas persetujuan doktor tersebut.

3) Pelabelan ubat dan penyediaan ubat

Label secara manual adalah proses pelabelan semua maklumat pesakit dan ubat pada label (nama pesakit, tarikh, dos dan frekuensi pengambilan ubat) dengan tulisan tangan. Kelebihan sistem ini adalah kurang kebergantungan kepada teknologi yang mungkin mempunyai limitasi kewangan, pemberhentian sistem (system down) dan sebagainya. Kekurangan sistem ini pula adalah tulisan yang tidak jelas dan sekata yang mungkin disalah tafsir oleh pesakit sekali gus menyumbang kepada berlakunya kesilapan pengubatan.

Label secara berkomputer atau Pharmacy Information System (PhIS) adalah satu sistem terbaru yang diperkenalkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi fasiliti kesihatan KKM. Sistem ini bertujuan untuk mengurangkan kesilapan pengubatan dan membolehkan pemantauan perubatan dijalankan dengan lebih cekap. Sistem ini bukan sahaja membolehkan setiap label dicetak kemas secara berkomputer, malahan setiap transaksi pengambilan ubat, kos ubat yang dibekalkan, kesemua sejarah pengubatan pesakit, dan tarikh pengambilan ubat bekalan separa boleh disemak kembali pada bila-bila masa.

4) Semak silang

Proses semak silang akan dilakukan oleh Pegawai Farmasi yang berbeza daripada Pegawai Farmasi yang melakukan proses pelabelan ubat. Pegawai Farmasi yang melakukan proses semak silang ini akan memastikan setiap informasi berkaitan pesakit dan ubat termasuk pembetulan atau rujuk semula dengan doktor telah dibuat dengan tepat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang dikesan tidak tepat atau tertinggal, segala proses di atas akan diulang semula untuk mengelakkan kesilapan pengubatan.

5) Pendispensan ubat

Nombor giliran yang diberikan kepada pesakit akan dipanggil dan nama pesakit akan ditanya oleh Pegawai Farmasi yang bertugas. Ini bertujuan untuk memastikan individu yang tampil ke kaunter adalah individu sebenar mengikut nama pada preskripsi ubat.

Semasa proses ini, Pegawai Farmasi akan menerangkan maklumat ubat berkaitan indikasi ubat, dos, frekuensi pengambilan ubat, cara pengambilan ubat, kaunseling ringkas dan informasi berkaitan interaksi ubat kepada pesakit. Pesakit perlu pastikan bahawa anda pulang dengan kefahaman yang menyeluruh selepas selesai proses pendispensan ini. Kegagalan memahami cara pengambilan ubat yang betul boleh membawa kepada kesilapan pengubatan berlaku di rumah.

Begitulah informasi ringkas berkaitan apa yang berlaku di sebalik setiap kaunter pendispensan ubat di unit farmasi peringkat hospital. Setiap proses memerlukan fokus dan ketepatan maklumat di samping mengurangkan masa menunggu pesakit dan memenuhi piagam pelanggan yang telah ditetapkan.

Sekiranya tiada sebarang masalah atau pembetulan dan rujuk semula yang perlu dibuat, masa menunggu selalunya akan ditepati. Sekira sebaliknya berlaku, tempoh masa menunggu ubat di unit farmasi terpaksa dipanjangkan. Walau bagaimanapun, semua ini perlu bagi memastikan keselamatan pesakit diutamakan.

Disediakan oleh: Mohamad Farhan bin Adi Kasuma

Pegawai Farmasi, Hospital Taiping

Sumber : KKM


Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter 

#WanitaMaya

Leave a Reply