Malaysia Menuju Negara Gagal Dan Muflis?

Terpanggil untuk mengulas berita fitnah yang disebar melalui Whatsapp didalangi beberapa individu berpengaruh termasuk oleh bekas menteri kewangan serta wartawan ternama sebelum ini bagi menakutkan rakyat Malaysia berhubung penutupan cawangan bank kononnya disebabkan ekonomi negara pada tahun 2016 dan 2017 ini sangat teruk dan tidak lama lagi Malaysia akan jadi seperti Greace menuju gagal dan muflis.

Individu yang mendalangi aktiviti terancang ini menyebarkan berita fitnah kononnya bersumberkan pakar ekonomi penting didalam negara. Walaupun apa yang disebar sebelum ini tidak pernah menjadi kenyataan namun penyebar fitnah terus ulangi fitnah tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Antara yang turut disebar sebelum ini ialah kononnya akan berlaku kadar kenaikan GST kepada 8% hingga 10% pada Oktober lalu walau pun Perdana Menteri pernah memberi jaminan GST tidak akan dinaikkan dalam waktu terdekat ini.

PROSES DIGITALISASI

Encik encik dan puan puan, apa yang sedang berlaku di bank adalah satu proses digitalisasi. Atau secara ringkasnya transisi daripada perbankan tradisional ke arah perbankan digital. Ini adalah agenda globalisasi perbankan yang sedang berkembang dengan pesatnya di serata dunia, hanya baru – baru ini sahaja ia mula diadaptasikan di ASEAN, termasuklah Malaysia.

Tak faham? Macam ni, zaman dulu kalau encik-encik dan puan-puan masih ingat, nak layari internet, nak main Starcraft atau Counter Strike atau lagi jujurlah nak tengok process manusia mengawan, encik-encik dan puan puan harus merenyam berjam-jam lamanya di Internet Cafe atau lebih dikenali sebagai cyber cafe, betul?

Sekarang masih pergi lagi?

Dah tak kan? Sebab internet sudah berada di hujung jari. Setiap individu yang memegang sebuah smartphone pasti membawa bersamanya seekor binatang buas yang sangat hebat kuasanya, iaitu internet.

Nak bayar bil, nak transfer duit, nak beli unit ASB, nak top up prepaid, nak beli insurance, credit card, loan, hire purchase, mortgage hatta nak bayar zakat sekalipun semuanya BOLEH melalui applikasi perbankan yang semakin hari semakin canggih ini.

Lagi lagi generasi X & Y yang celik IT, izinkan saya bertanya: berapa kali pernah pergi ke cawangan untuk berurusan dengan pegawai bank? 1 kali dalam seumur hidup? Atau 2 mungkin 3?

BANK BEREBUT UNTUK KURANGKAN CAWANGAN

Habis encik encik dan puan puan tak guna khidmat bank? Di situ encik encik dan puan puan dah boleh berfikir: kenapa bank – bank mega di Malaysia berebut rebut untuk mengurangkan atau mengkonsolidasi cawangan fizikal mereka.

Zaman bank buka 850 cawangan serata dunia dah tidak relevan encik encik dan puan puan. Keledakan IT telah menyenangkan urusan seharian kita, segalanya hanya perlu dilakukan di hujung jari.

Apabila applikasi applikasi ini telah dilengkapi dengan urusan permohonan kemudahan perbankan secara atas talian, ia telah memudahkan kerja makhluk yang bernama manusia secara total. Tak perlu lagi bersusah payah cari parkir, bayar tol dan meredah lautan api untuk dapatkan perkhidmatan ini semua!

BANK BANGGA CAWANGAN DIKURANGKAN

Maka dengan itu, bank mula memaklumkan dengan bangganya cawangan mereka telah dikurangkan sekian sekian banyaknya dengan penjimatan kos sebanyak sekian sekian peratus dan keuntungan yang dianggarkan daripada aktiviti dan perolehan dari perbankan tradisional kepada perbankan digital adalah sekian sekian peratus.

Tidak ada satu pun daripada berita yang saya baca setakat ini mengatakan aktiviti aktiviti ini adalah disebabkan BANK SUDAH TIDAK RELEVAN, EKONOMI YANG BURUK MENYEBABKAN BANK MULA PECAT PEKERJANYA atau BANK RUGI!

FACEBOOKER JANGAN JADI PENYANGGAK

Jangan jadi umpama katak bawah tempurung yang enggan membaca, amalan membaca amalan mulia. Jangan jadi penyangak yang memanipulasi sesebuah tajuk berita untuk melariskan perniagaan MLM yang sedang encik encik dan puan puan jalankan. Jadi manusia yang bertanggungjawab. Ikut peredaran masa, jangan sebar fitnah.

Keadaan ekonomi dunia sekarang ini memang berada pada tahap dingin. Umpama puan puan mengangkang di depan encik encik pun para encik enciknya enggan bertindak disebabkan kurangnya faktor kearjunaan. Itu hakikat yang sudah bukan terlalu dangkal untuk disangkal.

Namun jangan salahkan isu semasa untuk menjadi tidak kompetetif. Jangan sesekali manupulasikan keadaan semasa untuk kepentingan individu. Keji, tidak terhornat dan tidak bermaruah. Pengguna media sosial juga ada tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran, bukan menjana fitnah.

LETUSAN DIGITAL

Di Malaysia, CIMB membuat keputusan untuk menutup 23 cawangannya di Malaysia.

Bank of America di Amerika pula telah menutup sehingga 23% dari keseluruhan 6,100 cawangannya di seluruh Amerika, sejak 2009 lagi, menjadikan bilangan cawangan mereka kini berjumlah hanya 4689 sahaja hari ini.

Di United Kingdom pula, 600 bank telah ditutup sejak setahun lalu sebenarnya.

Sebenarnya ini adalah kesan ‘Letusan Digital’. Penutupan bank semata-mata tidak menggambarkan krisis ekonomi bagi sesebuah negara. Ia jauh sekali menyimpulkan bahawa sesebuah negara, Malaysia dalam kes ini hampir bangkrap dan mengalami kejatuhan ekonomi.

CIMB CATAT KEUNTUNGAN SABAN TAHUN

CIMB misalnya mencatatkan keuntungan saban tahun, petanda transaksi dan urusniaga perbankan rancak dan bisnes mereka bertambah baik.

Tetapi tidak dinafikan, dalam ‘Letusan Digital’ banyak kerjaya akan menjadi pupus dan jawatan tersebut tidak lagi diperlukan.

Urusan di kaunter bank, berdepan dengan Kerani Bank misalnya, sudah digantikan dengan perbankan internet. Duit tunai pula, digantikan dengan urusniaga menggunakan kad debit dan kredit.

Kurang pekerja, maka kos operasi cawangan fizikal meningkat, menjadikan mereka tidak lagi praktikal untuk wujud sebagai ‘brick and mortar’ seperti yang kita tahu.

UBER, GRAB, AIRBNB

Malah, ‘Letusan Digital’ bukan setakat memberi kesan kepada urusan dan kewujudan bank secara fizikal semata.

Uber dan Grabcar misalnya adalah ‘Letusan Digital’ yang mengesankan pemandu teksi, dan pendapatan mereka.

Begitu juga AirBnB, mengisi ruang kosong penyediaan perkhidmatan hospitaliti dan perhotelan. Syarikat hotel terbesar dunia ini tidak perlukan sebarang bangunan hotelpun untuk beroperasi. Trivago pula misalnya memudahkan pencarian hotel yang kita mahu dan mampu. Hotel dengan rating teruk dan harga tidak kompetitif, tidak akan bertahan lama.

KITA SENDIRI BERGANTUNG KEPADA INTERNET !

Berapa ramai pula antara kita telah semakin bergantung kepada perniagaan melalui internet. Perniagaan tudung, sambal hitam, biskut dan kek raya, pakaian, mainan anak-anak, semua di internet sahaja. Ia serba sedikit mengambil peranan premis-premis perniagaan dan kedai-kedai. Surirumah kini lebih arif serba serbi tentang berniaga.

Khidmat mengambil gambar tak perlu lagi studio dan kedai gambar seperti dahulu. Tiada lagi keperluan untuk cucian gambar-gambar amatur. Tangkap dan cetak sendiri di rumah.

Penggunaan emel, socmed pula sedikit sebanyak mengambil alih tugas dan fungsi pejabat pos dan tenaga kerja berkaitannya. Tiada lagi Q panjang di Pejabat Pos, dan petugas kaunter pos pun lebih manis dan ayu senyumannya, kerana kurang tekanan kerja.

KERJA KAU DAN AKU PUN BOLEH PUPUS !

Bahkan, penerbitan akhbar pun, jika tidak mengikut arus ‘Letusan Digital’, banyak penerbitan pasti gulung tikar.

Hey, siapa tahu, jangankan pekerjaan di bank, pekerjaan kau dan aku pun mungkin boleh pupus kerana ‘Letusan Digital’, tau.

Sekian,

Tulisan
Rozmi Mokhtar


 

Leave a Reply