Baru-baru ini kita digempar-gempurkan dengan kenyataan media yang mengatakan TEKUN Nasional kerugian sebanyak RM 209.28 juta. Sebelum menjawab persoalan tersebut, meh kita kenal dulu serba sedikit berkaitan dengan TEKUN Nasional.

TEKUN Nasional merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani yang diwujudkan bagi membantu golongan peniaga kecil untuk memula dan mempertingkatkan perniagaan sedia ada.  Sejak diwujudkan pada tahun 1998, TEKUN Nasional telah melaksanakan peranannya dengan berkesan dalam membantu bumiputera mencebur diri dan bergiat dalam bidang perniagaan.

Pada masa ini, pembiayaan TEKUN diberikan kepada semua jenis perniagaan berdasarkan kepada keperluan perniagaan mereka.  Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga kini, TEKUN Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 392,713 orang usahawan, dengan bilangan pinjaman sebanyak 512,486 yang bernilai RM4.79 bilion di seluruh negara.  Jumlah pembiayaan yang diberikan kepada usahawan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Pada tahun 2015 sahaja, TEKUN nasional telah memberi pembiayaan  perniagaan kepada 32,883 orang usahawan dengan bilangan pinjaman sebanyak 47,270 yang bernilai RM582.4 juta. Kemudian  jumlah ini meningkat pada tahun 2016 dengan bilangan pinjaman sebanyak 52,369 yang bernilai RM703.4 juta kepada 42,141 orang usahawan.

Jumlah ini bukanlah sedikit. Juka betullah TEKUN mengalami kerugian sebanyak RM 209.28 juta pada tahun 2015, kenapa TEKUN mampu untuk menyalurkan bantuan kepada usahawan dan jumlah ini meningkat pada tahun 2016.

Untuk makluman semua, TEKUN Nasional mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM 209 juta pada tahun 2015, bukanlah disebabkan oleh kerugian operasi.  Ini adalah disebabkan oleh aktiviti mengklasifikasi akaun-akaun tertunggak melebihi 24 bulan sebagai akaun hutang lapuk (write off) sebanyak RM 230 juta melibatkan 27,765 peminjam tahun 1999 sehingga tahun berakhir 2014.

Malah TEKUN mencatatkan keuntungan sebanyak RM 19.5 juta pada tahun kewangan 2015 sebelum aktiviti write off  ini. Walaupun TEKUN melaksanakan aktiviti write off, kutipan balik pembiayaan tertunggak tersebut tetap dilakukan secara agresif melalui tindakan undang-undang mulai tahun 2015. Sehingga Jun 2016, kutipan yang telah berjaya dikutip adalah sebanyak RM 74.6 juta (18.2%) seterusnya mengurangkan hutang hapus kira.

Walau bagaimanapun kedudukan TEKUN dari segi portfolio asset adalah kukuh dengan pegangan tunai (cash reserve) sebanyak RM 523 juta. Ini menunjukkan TEKUN mempunyai aliran tunai yang diuruskan dengan baik. Pada tahun 2016, TEKUN telah mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak RM 20.37 juta. Berdasarkan prestasi kewangan tersebut, TEKUN juga berupaya untuk membuat bayaran balik pinjaman kepada kerajaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Untuk makluman, sumber kewangan untuk pengeluaran pinjaman kepada usahawan diperolehi melalui pinjaman daripada kerajaan yang perlu dibayar sepenuhnya.

Mulai tahun 2016, TEKUN Nasional telah mengguna piawaian pelaporan perakaunan Malaysia Financial Reporting Standards (MFRS) selaras dengan Akta Syarikat yang mewajibkan syarikat awam untuk mengguna MFRS, di mana sebelum ini TEKUN Nasional menggunakan Private Entity Reporting Standards (PERS).

Melalui perakaunan MFRS, pendapatan terakru, realisasi pendapatan geran dan ditambah pula melalui pendapatan bayaran balik hutang lapuk telah menghasilkan lebihan pendapatan bersih untuk tahun 2016 sebanyak RM 20.37 juta melalui penyata kewangan beraudit TEKUN Nasional.  Pendapatan terkumpul untuk TEKUN Nasional pula telah menunjukkan peningkatan positif dari defisit (kerugian terkumpul) sebanyak RM 18.1 juta pada tahun 2015 kepada (keuntungan terkumpul) RM 2.07 juta pada tahun 2016.

Secara keseluruhannya, kedudukan kewangan TEKUN telah menunjukkan prestasi yang baik dengan keuntungan terkumpul (retained profit) kembali positif pada tahun 2016. Bantuan pinjaman perniagaan yang diberikan oleh TEKUN Nasional sedikit sebanyak dapat membantu golongan usahawan untuk memula dan mengembangkan perniagaan mereka. Ini menunjukkan kerajaan melalui TEKUN Nasional sememangnya komited dalam membantu usahawan Melayu dan bumiputera.


Penulis – Wirna Ramli

Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter