KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) –Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) hari ini menjelaskan kerugian RM209 juta pada tahun 2015 bukannya berpunca daripada kerugian operasi, sebaliknya disebabkan oleh aktiviti mengklasifikasikan akaun peminjam yang tertunggak sebagai akaun lapuk.

Malah, Pengerusinya, Dato’ Nor Azita Abdul Rahman berkata TEKUN Nasional mencatatkan keuntungan sebanyak RM19.5 juta pada tahun kewangan 2015 sebelum aktiviti hapus kira hutang berkenaan.

Beliau menjelaskan, ​​​kerja-kerja menghapus kira hutang lapuk tersebut melibatkan akaun tertunggak melebihi 24 bulan berjumlah RM230 juta yang membabitkan seramai 27,765 peminjam dari tahun 1999 hingga 2014.

“Kerugian yang dialami ini bukan bermaksud TEKUN Nasional tak ada duit dan tak boleh nak menjana kewangan, malah kita mencatatkan keuntungan sebanyak RM19.5 juta pada tahun kewangan 2015 sebelum aktiviti hapus kira ini dijalankan.

“Sebenarnya kalau mengikut baki tunai, TEKUN Nasional berada pada (paras) kewangan yang sangat baik. Ianya disebut dalam Laporan Audit bahawa aliran tunai TEKUN berada dalam keadaan memuaskan, maksudnya kita ada kewangan yang cukup,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan kerugian TEKUN Nasional dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Laporan itu menyatakan TEKUN Nasional mengalami kerugian terkumpul pada akhir 2015 berjumlah RM209.28 juta.

Menjelaskan selanjutnya, Nor Azita berkata walaupun TEKUN Nasional melaksanakan aktiviti menghapus kira berkenaan, kutipan balik pembiayaan tertunggak tersebut tetap dilakukan secara agresif menerusi tindakan undang-undang mulai 2015.

“Sehingga Jun 2016, kutipan yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM74.6 juta atau 18.2 peratus yang seterusnya mengurangkan hapus kira hutang.

“Kedudukan TEKUN Nasional dari segi aset portfolio adalah kukuh dengan pegangan tunai sebanyak RM523 juta. lni menunjukkan TEKUN Nasional mempunyai aliran tunai yang diuruskan dengan baik dan kita mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak RM20.37 juta,” katanya.

Nor Azita berkata berdasarkan prestasi kewangan tersebut, TEKUN Nasional berupaya untuk membuat bayaran balik pinjaman kepada kerajaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Tahun 2015 yang dikatakan TEKUN Nasional rugi itu, sebenarnya kerajaan beri dana RM250 juta kepada TEKUN, kita keluarkan pembiayaan sebanyak RM582 juta dan kita kutip balik RM352 juta.

“Menerusi jumlah RM250 juta yang kerajaan bagi, kita mampu keluarkan pinjaman sebanyak RM582 juta, jadi sangatlah mustahil kalau nak dikatakan TEKUN Nasional ini rugi,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Azita berkata bermula 1999 hingga Julai tahun ini TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 392,713 usahawan bernilai RM4.8 bilion.

“Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menerima dana sebanyak RM2.9 bilion. Ini bermakna ia telah menyalurkan pembiayaan lebih 1.7 kali ganda daripada (jumlah) dana yang diterima.

“Lebihan dana ini adalah daripada wang kutipan bayaran balik pinjaman yang disalurkan semula kepada peminjam. Sejak beroperasi, TEKUN Nasional telah berjaya mengutip semula pinjaman sebanyak RM3.3 bilion,” katanya.

Selain itu, Nor Azita berkata, bagi memastikan proses penyaluran pembiayaan dan kutipan bayaran balik mencapai tahap berkualiti tinggi, TEKUN Nasional telah melaksanakan beberapa inisiatif baharu termasuk memperkenalkan sistem pemarkahan kredit dan semakan dengan agensi pelaporan kredit RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI), memantapkan pusat panggilan kutipan dan penambahan saluran bayaran.

Oleh Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan

— BERNAMA