Tanpa disedari, kita telah memasuki 10 malam terakhir bulan ramadhan. Ini bermakna tidak lama lagi kita akan menyambut bulan syawal. Pelbagai persiapan telah giat dijalankan daripada membeli-belah kepada membuat kuih-muih bersama keluarga.

Namun begitu, janganlah kita alpa dan lalai akan peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk kita menghidupkan sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan ini. Malam yang penuh istimewa dan malam yang lebih mulia daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Sentiasalah berdoa agar kita semua dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar kerana Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang besar kepada umat islam yang menghayati dan melipatgandakan amalan pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.

Tiada seorang pun yang tahu bila malam itu tiba. Hanya Allah SWT yang tahu bila malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan itu akan menghampiri hamba-hambanya. Setiap hamba perlu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keberkatan malam lailatul qadar kerana malam lailatul qadar adalah malam yang lebih mulia daripada seribu bulan dan mempunyai keistimewaannya tersendiri;

  1. Lailatul Qadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam inilah Allah SWT menurunkan kitab suci utama iaitu Al-Quranul Karim.
  2. Lailatul Qadar sungguh luar biasa kerana malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan 83 tahun.

Allah berfirman;

“Malam Lailatul-Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan.” (Surah Al-Qadar; Ayat 3)

  1. Malam Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan berdasarkan firman Allah SWT;

“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah Ad Dukhan; Ayat 3)

  1. Keistimewaan Lailatul Qadar diiringi juga dengan turunnya para malaikat yang diketuai oleh ‘Ar Ruuh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadr dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.
  2. Lailatul Qadar disifatkan sebagai keutamaan luar biasa dan kesejahteraan kerana pada malam itu malaikat turun untuk mengucapkan “Salam Sejahtera” kepada seluruh penduduk bumi.
  3. Lailatul Qadar adalah malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan. Imam Nawawi rahimahullah dalam ‘Syarh Muslim’ bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah SWT. Takdir ini nantinya akan diperlihatkan kepada malaikat dan ia akan mengetahui yang akan terjadi dan mereka akan melaksanakan tugas yang diperintahkan untuknya. Allah berfirman;

“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah” (Surah Ad Dukhan; Ayat 4)

  1. Dosa setiap orang yang menghidupkan malam Lailatul Qadar akan diampunkan oleh Allah SWT.

“Sesiapa melaksanakan solat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

.Lailatul Qadar juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan atau ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah SWT melimpahkan cahaya dan hidayahNya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Orang yang beribadah sepanjang tahun tentu lebih cerah dan mudah mendapatkan keistimewaan dan kemuliaan malam tersebut kerana ibadahnya bersifat kekal, tetap, ikhlas dan konsisten berbanding dengan orang yang beribadah jarang-jarang.

Jom kita perbetulkan diri dan tingkatkan amalan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Perbanyakkanlah amal ibadah terutama pada 10 malam terakhir ini agar kita semua mendapatkan keberkatan dan kemuliaan malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu malam. Semoga dosa-dosa kita diampuni dan amal ibadah kita diterima di sisi Allah SWT..

Amin..


Penulis – Wir | WMayaTeam

Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter