Alhamdulillah..tanpa kita sedari, bulan ramadhan kini tiba lagi. Marhaban Ya Ramadhan. Bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan berkat, penuh dengan pahala dan penuh dengan kebaikan. Bulan yang sentiasa dinantikan kehadirannya oleh umat islam di seluruh dunia. Bagaimanakah persiapan kita dalam menyambut bulan ramadhan??? semoga Allah SWT memberi kita petunjuk serta hidayah untuk beribadah di bulan ramadhan agar kita semua termasuk hamba-hamba Allah yang dimerdekakan dari api neraka, diampuni dosa, dikabulkan segala doa dan mendapat malam lailatul qadar..In shaa Allah..

“Ramadhan adalah ( bulan) diturunkannya  Al Qur’an sebagai panduan untuk umat manusia, juga tanda yang jelas untuk bimbingan dan penilaian (antara benar dan salah) . Oleh itu, jika  salah seorang dari kamu mencapai bulan itu, maka ia harus berpuasa . “( Al Baqarah 185 )

Ayat Al-quran di atas jelas menunjukkan bahawa bulan ramadhan adalah bulan yang paling mulia dan suci bagi umat Islam. Ayat-ayat pertama Al-qur’an diturunkan pada bulan ini. Pada bulan ramadhan, umat islam diwajibkan untuk berpuasa dan melakukan ibadah-ibadah yang lain  kerana Allah SWT berfirman ; (maksudnya)

Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala (dari Allah SWT), niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Bulan ramadhan merupakan bulan yang sangat mulia dan memberi seribu makna buat umat islam di seluruh dunia. Pengertian bulan ramadhan adalah bulan yang penuh keampunan dan bulan untuk berpuasa menahan segala yang membatalkan puasa seperti menahan makan dan minum, tidak menuruti hawa nafsu dan menjaga perbuatan yang tidak baik selama berpuasa. Kita diwajibkan untuk memperbanyak amal kebaikan yang pahalanya sangat banyak dan berlipat kali ganda.

Allah SWT memerintahkan sesuatu kepada hambanya bukan tanpa alasan. Setiap yang diperintahkan pasti ada hikmah dan keistimewaan disebaliknya. Begitu juga dengan kewajipan berpuasa di bulan ramadhan ada hikmah serta keistimewaannya. Antaranya ialah :

  1. Berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimananan dan ketakwaan akan menghapuskan dosa-dosa yang terdahulu dan terhapus segala kesalahan.
  2. Pada bulan ramadhan, terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, yaitu malam Lailatul Qadar. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan untuk setiap urusan. Marilah kita berdoa semoga kita semua dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar.
  3. Apabila bulan ramadhan tiba, pintu-pintu syurga akan dibuka dan pintu-pintu neraka akan ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pintu taubat juga akan sentiasa terbuka.
  4. Melatih diri untuk menjadi seseorang yang lebih tabah dan sabar, tidak mudah berburuk sangka terhadap orang lain dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang lain.
  5. Dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan seseorang melalui amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan ramadhan.
  6. Melatih diri untuk menjadi seseorang yang sentiasa bersyukur. Di saat kita menjalankan ibadah puasa, kita hanya makan dua kali sehari iaitu ketika berbuka puasa dan ketia sahur. Dengan demikian, kita akan lebih rasa bersyukur dengan apa yang kita makan  selama ini ketika kita tidak berpuasa. Oleh itu, perasaan syukur akan muncul pada diri seseorang tersebut.
  7. Dalam bulan ramadhan, manusia dapat melatih dirinya agar dapat berbuat baik kepada sesama manusia. Timbulnya rasa saling mengasihi dan menyayangi sesama manusia atau orang-orang yang kekurangan dan juga dapat menahan diri dari perbuatan yang tidak baik.
  8. Berpuasa juga dapat melatih diri kita untuk selalu disiplin dalam kehidupan seharian. Dari segi kesihatan, berpuasa juga dapat membuat seseorang sentiasa awet muda dan dapat menjaga kesihatan dari pelbagai jenis penyakit.
  9. Membiasakan diri untuk berhati – hati dalam setiap perbuatan. Dengan menjalankan ibadah puasa, kita dapat menghidari hal – hal yang dapat mengurangi pahala puasa kita iaitu dengan menjaga lisan, perbuatan dan hati.

Hikmah dan keistimewaan bulan ramadhan menunjukkan bulan ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa bagi seluruh umat islam. Bulan di mana penuh dengan berkat dan rahmat. Semoga kita tidak mensia-siakan bulan ramadhan dan perbanyakkanlah amal ibadah kepada Allah SWT agar kita sentiasa diberi keberkatan, keredhaan dan diberikan kebaikan dan pahala yang berlipat kali ganda. Semoga kita dipertemukan dengan malam lailatul qadar. Aminn..


Penulis – Wir | WMayaTeam

Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter