Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengadakan lawatan rasmi ke India selama enam hari yang bermula pada 30 Mac 2017 sehingga 4 April 2017. Lawatan rasmi itu adalah atas jemputan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan merupakan kali ketiga sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009.

WhatsApp-Image-2017-04-05-at-15.08.37

Lawatan itu juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua negara yang juga signifikan kerana ia merupakan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia-India tahun ini.

Antara isu yang dibincangkan ialah isu yang berkaitan dengan perdagangan dan pelaburan, projek infrastruktur, kerjasama pertahanan, pengurusan pengangkutan udara, kerjasama pelancongan dan kebudayaan.

Hasil daripada lawatan Perdana Menteri ke India selama 6 hari, sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perniagaan telah dimeterai dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak RM158.68 bilion.

Memorandum persefahaman perniagaan Malaysia-India itu melibatkan projek-projek seperti pembinaan pelabuhan, lebuh raya, stesen janakuasa tenaga solar, pembangunan bandar pintar dan taman teknologi, pembinaan terminal penggasan semula, pembangunan projek pemprosesan kelapa dan kelapa sawit serta pendidikan tinggi.

Antara yang menjadi tumpuan adalah projek bandar pembangunan bersepadu bandar maritim di Pulau Carey antara MMC Port Holdings Sdn. Bhd., Sime Darby Property Berhad dengan Adani Ports dan Special Economic Zone Limited bernilai RM100.3 bilion untuk tempoh 30 tahun.

WhatsApp-Image-2017-04-03-at-8.36.30-PM

Projek Pelabuhan Pulau Carey antara MMC dan Adani pula bernilai RM41.3 bilion. Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis makan tengah hari bersama ketua-ketua industri Malaysia dan India di Hotel Taj Palace, India.

Antara memorandum lain yang telah dipersetujui adalah;

  • Projek Loji Kuasa Solar Terapung yang akan dipasang di Empangan Jana Kuasa Hidro Malaysia oleh Mutiara Etnik Sdn Bhd (Malaysia) dan Vatsaa Energy Pvt. Ltd (India)
  • Pembuatan, pengedaran, jualan, import dan eksport produk farmaseutikal dan perubatan antara Duopharma (M) Sdn Bhd, anak syarikat CCM Pharmaceutical Sdn Bhd and Natco Pharma Limited.
  • Memasar dan membekalkan produk Samtel Avionics ke pasaran Malaysia antara HPC Global Sdn. Bhd. (Malaysia) dan Samtel Avionics Limited (India).
  • Mendapatkan produk berkualiti halal mencukupi untuk dihasilkan di Taman Halal ECER bagi pasaran Malaysia dan global antara Lotus Global Foods Sdn Bhd (Malaysia) dan Mirha Exports Pvt. Ltd (India).
  • Kerjasama pembangunan latihan antara Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PMSB) & ISDC (Malaysia) dan Interactive Institute of Job-Skills Pvt. Ltd. (India).
  • Projek Bangalore SMART City antara SkyBlue Media Sdn Bhd & PSL Venture Sdn Bhd & Drachen Welle Engineering Sdn Bhd (Malaysia) dan Bruhat Bengaluru Mahanagara Palike.
  • Pengembangan Perniagaan di India antara Ingress Industrial (Malaysia) Sdn Bhd dan Sunvisors (India) Pvt. Ltd.
  • Menyediakan perkhidmatan pendidikan tinggi di peringkat Doktor Falsafah, Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda antara Binary University dan Loyola Institute of Business Administration Chennai.
  • Projek Perumahan Lestari di India antara CIDB Holdings & NSL Infratech Private Limited.
  • Projek Lebuh Raya di India antara CIDB Holdings & MEP Infrastructure Developers Limited.
  • Projek Rawatan Teknologi Air dan Air Sisa antara CIDB Holdings dan VA Tech Wabag Limited.
  • Projek Pinggir Sungai Yamuna di Delhi antara CIDB Holdings dan National Buildings Construction Corporation Ltd. (NBCC).
  • Pembinaan dan pembangunan projek prasarana mega antara CIDB Holdings dan Jaiprakash Associates Limited.
  • Operasi dan penyenggaraan jana kuasa di India antara TNB Repair & Maintenance Sdn Bhd dan GMR Energy Limited.
  • Projek terminal pengegasan semula dan simpanan terapung di Kakinada, Andhra Pradesh antara Isomeric Holdings Sdn Bhd dan Andhra Pradesh Gas Distribution Corporation.
  • Membekalkan dan mengedarkan minyak sawit ke India antara Felda Global Venture Holding Berhad dan Trimex Industries.
  • Memasarkan dan membekalkan produk Hyrax Oil ke pasaran India antara Hyrax Oil Sdn Bhd dan Lexicon.
  • Pembangunan kilang Urea/Baja di Andhra Pradesh antara Isomeric Holdings Sdn Bhd dan VBC Fertilisers.
  • Pertukaran hak filem antara Nation Film Studio & FITA Studio dan Modern Media Digitech India.
  • Projek prasarana kereta api antara CIDB Holdings dan IRCON.
  • Meneroka produk kualiti premium India yang menumpukan kepada e-pasaran antara Aladdin Group Sdn Bhd dan Verified Online.
  • Membangunkan pelbagai pusat konvensyen pelbagai di seluruh India antara MRCB dan Adani Realty.
  • Membina Kilang Memproses Kelapa di Bagan Datuk, Perak, antara GMIND Sdn Bhd (Malaysia) & Mezhukkattil Mills (India).
  • Mempromosikan manfaat kesihatan dan nutrisi minyak sawit kepada pengguna antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Mumbai Dabbawala Association (MDA).
  • Membangunkan dan menggunakan minyak sawit Malaysia antara MPOC dan Solvent Extractors’ Association of India (SEA).
  • Menggalakkan pembangunan dan penggunaan minyak sawit Malaysia antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)d an Association of Food Scientists and Technologists (India) – Mumbai Chapter.
  • Menggalakkan dan membangunkan hubungan ekonomi dua hala antara Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dengan Associated Chambers of Commerce and Industry (ASSOCHAM) di India.
  • Bertukar-tukar pengalaman profesional berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan kepada perniagaan antara MAICCI dan Confederation of Indian Industry (CII).
  • Kerjasama bagi mengukuhkan kerjasama serantau dan meningkatkan integrasi ekonomi antara MAICCI dan Federation of Indian Chambers of Commerce and Industry (FICCI).

Kini, India merupakan rakan perniagaan ke-10 terbesar, destinasi eksport ke-7 terbesar, sumber import ke-12 terbesar dan pelabur ke-20 terbesar Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah AS$2.31 bilion.

Semoga hubungan diplomatik antara Malaysia-India akan berkekalan agar dapat memberi keuntungan dan kebaikan kepada kedua-dua negara khususnya rakyat Malaysia dan rakyat India.


Penulis – WR – WMayaTeam #WanitaMaya

Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter