KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG KEJADIAN SELESEMA BURUNG (AVIAN INFLUENZA) H5N1 DI TUNJUNG, KOTA BHARU, KELANTAN 
Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan penyakit Selesema Burung (Highly Pathogenic Avian Influenza) H5N1 telah disahkan berlaku di Kg Pulau Tebu, Tunjung, Kota Bharu, Kelantan. Pengesahan telah dibuat oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh menggunakan teknik Real-Time Polymerase Chain Reaction. 

Kejadian melibatkan ayam kampong di mana 15 ekor daripada 26 ekor ayam telah dilaporkan mati. Tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak DVS bagi membendung penyakit dari merebak dan seterusnya membasmi penyakit ini termasuk; 

1. Menakai dan melupuskan semua unggas disekitar 1km radius dari Kg Pulau Tebu (Zon Jangkitan) dan menyuci hama premis terlibat,

2. Menjalankan survelan, pemeriksaan unggas dan persampelan di 1km hingga 10 km radius dari Kg Pulau Tebu (Zon Survelan); dan

3. Mengawal pemindahan unggas keluar dari Zon Survelan.

Operasi pelupusan di dalam zon jangkitan telah selesai dijalankan pada 8 Mac 2017 di mana bilangan yang dilupuskan adalah sebanyak 227 ternakan unggas dan 253 biji telur. Walau bagaimanapun, pihak DVS masih lagi membuat pemantauan bagi mengesan saki baki unggas yang masih ada untuk tujuan pelupusan. 

DVS mengesahkan bahawa keadaan wabak adalah terkawal dan jangkitan hanya terbatas pada ternakan ayam kampong di Kg Pulau Tebu dan tiada ladang ayam komersil yang terlibat. Pemindahan keluar unggas dari zon survelan juga dipantau dan terkawal. Oleh itu, ayam-ayam yang dipasarkan adalah selamat untuk dimakan. 

Di samping itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menjalankan siasatan di zon jangkitan dan tiada berlaku penularan wabak kepada manusia. 

9 MAC 2017