BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA 2017 

1. Secara keseluruhan, seramai hampir 6,320,769 permohonan telah diluluskan bagi menerima BR1M 2017 yang merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan kebawah, bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan diantara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan kebawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 billion. 

2. Merujuk kepada kegagalan permohonan yang berkaitan dengan data pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kerajaan telah membuat semakan di mana seramai 887,198 pemohon yang gagal BR1M 2017 kerana tidak mengemukakan dokumen pendapatan yang lengkap antaranya penyata pendapatan perniagaan atau penyata bank pemohon walaupun mempunyai pendapatan melalui perniagaan sendiri. Daripada jumlah tersebut, seramai 705,562 orang adalah penerima BR1M 2016. 

3. Sehubungan ini, Kementerian Kewangan telah bersetuju supaya semua penerima BR1M 2016 diluluskan pembayaran pertama bagi BR1M 2017 mengikut kategori masing- masing yang dijangka selesai pada 17 Mac 2017. Walau bagaimanapun, mereka masih perlu mengemukakan penyata pendapatan perniagaan atau penyata akaun bank yang berkaitan kepada LHDN semasa tempoh rayuan sehingga 31 Mei 2017 bagi mengesahkan maklumat pendapatan mereka. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan bayaran BR1M 2017 peringkat ke 2 dan seterusnya tidak dapat diteruskan. 

4. Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta email kepada: br1m@treasury.gov.my 

Kementerian Kewangan

9 Mac 2017