BERANI UNTUK BERUBAH, merupakan tema sempena Hari Wanita Antarabangsa yang mana mencerminkan bahawa seorang wanita itu berani untuk berubah menjadi lebih baik dan berjaya setaraf dengan kaum lelaki. Tarikh keramat 8 Mac, merupakan Hari Wanita Sedunia yang mana hari tersebut akan mengiktiraf pelbagai pencapaian wanita dari segi sosial, ekonomi, pendidikan, budaya dan politik di seluruh negara.

WANITA adalah makhluk yang paling indah yang telah tercipta sebagai pelengkap di dunia ini. keindahan seorang wanita tidak terletak pada kecantikan semata-mata, tetapi kecantikan seorang wanita terletak dalam diri wanita itu sendiri melalui perwatakan, penampilan, harga diri dan kejayaan yang akan menjadi sumber inspirasi kepada semua.

Wanita di Malaysia sungguh bertuah kerana Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan hak yang sama rata untuk semua tanpa mengira jantina. Pengiktirafan ini menjadi bukti kejayaan wanita di negara ini untuk mencapai kesaksamaan gender.

Hal ini bermakna, ruang dan peluang yang lebih terbuka dan selesa tersedia untuk wanita mengorak langkah dalam mencapai kejayaan. Namun, perjuangan seorang wanita masih belum berakhir kerana masih banyak cabaran yang harus ditangani untuk menempatkan diri dalam sfera kehidupan yang lebih selesa dan bermakna.

Jika kita imbas zaman selepas 50 tahun kemerdekaan negara, perjuangan Wanita seperti Puteh Mariah Ibrahim Rashid, Zainun Munshi Sulaiman (Ibu Zain), Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani sentiasa menjadi sumber inspirasi dan terus dikenang kepada wanita hari ini terutama pada hari bersejarah dalam meraikan Hari Wanita. Kerana perjuangan mereka dahulu telah meletakkan kedudukan wanita duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki dan kini wanita mampu gah berada di pentas dunia.

Kini, di era globalisasi yang semakin mencabar, kejayaan demi kejayaan telah dikecapi oleh kaum wanita. Dalam bidang politik, kaum wanita telah diberi pengiktirafan untuk memegang jawatan tinggi seperti Menteri dan Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Selain itu, kaum wanita juga diberi pengiktirafan dalam memegang jawatan tinggi dalam bidang yang tidak pernah terfikir sebelum ini seperti menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahli Lembaga Amanah dan beberapa jawatan lain lagi dalam sektor-sektor Awam. Bagi sektor awam, kadar pencapaian telah melebihi sasaran 57.2 peratus dan bilangan penjawat awam wanita yang berada dalam pengurusan tertinggi juga mencapai 34 peratus.

Dalam bidang perniagaan pula telah melahirkan ramai Usahawan Wanita yang berjaya seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Datuk Wira Dr. Maznah Hamid, Puan Faiza Bawumi Sayed Ahmad dan ramai Usahawan Wanita lain lagi. Mereka menjalankan perniagaan sehingga berjaya menembusi perniagaan di peringkat antarabangsa.

Dalam bidang pendidikan, trend kemasukan pelajar ke universiti tempatan sejak lebih sedekad lalu menunjukkan peningkatan pelajar perempuan berbanding lelaki. Malah, statistik pada alaf baru (tahun 2000 hingga kini), jumlah pelajar perempuan yang mendaftar di universiti tempatan adalah sebanyak 65 peratus berbanding lelaki yang hanya 35 peratus. Wanita mahukan pencapaian lebih tinggi dan sebab itu, wanita berjaya dalam peperiksaan, berjaya memasuki institusi pengajian tinggi dan banyak jawatan tinggi terbuka untuk wanita termasuk golongan yang membuat keputusan.

Secara keseluruhannya, kedudukan wanita di negara kita lebih baik berbanding mereka di negara membangun lain, khususnya di Asia Selatan dan Afrika. Wanita Malaysia telah mencapai kejayaan yang membanggakan dengan jumlah mereka yang berjaya dalam kerjaya dan pendidikan semakin meningkat.

Bak kata pepatah “ Tangan Yang Mengayun Buaian Mampu Menggegarkan Dunia”. Berani berubah bukan hanya dilafazkan, tetapi lakukan usaha untuk berubah…

SELAMAT HARI WANITA!!!!

Wirna Ramli


Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter