Kedatangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud di Malaysia pada 26 Februari 2017 bagi lawatan rasmi empat hari disambut baik oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga menteri pengiring serta seluruh rakyat Malaysia.

Kunjungan dan lawatan julung kali Raja Salman ke Malaysia dijangka akan membawa lebih banyak kebaikan kepada Rakyat Malaysia. Antara yang menarik perhatian dalam lawatan ini ialah kerjasama pelaburan antara Petronas dan Saudi Aramco. Tujuan kerjasama pelaburan ini adalah untuk memaju dan mengendalikan sebuah kilang penapis minyak yang besar di Pengerang, Johor menerusi projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan jumlah pelaburan Saudi Aramco sebanyak AS$7 bilion dalam sebuah kilang penapis minyak yang ditubuhkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Johor. Projek RAPID itu dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2019.

Penyertaan Saudi Aramco ke dalam projek itu merupakan satu kejayaan besar bagi Petronas. Syarikat yang berpengkalan di Dhahran, Arab Saudi merupakan syarikat minyak milik negara dan pengeluar minyak mentah terbesar di dunia, menghasilkan kira-kira satu tong dalam setiap lapan tong bekalan minyak dunia,

Sebagai sebahagian daripada langkah transformasi ekoran kejatuhan harga minyak mentah, Arab Saudi dijangka menyenaraikan sebahagian Saudi Aramco, dianggarkan bernilai antara AS$2 trilion hingga AS$3 trilion yang mungkin menjadi penyenaraian awam permulaan terbesar di dunia, disasarkan pada tahun 2018.

Projek RAPID dianggarkan memakan kos AS$12.7 bilion manakala kemudahan berakitan seperti bekalan air mentah dan terminal regasifikasi gas asli cecair akan menambah kos sebanyak RM8.6 bilion lagi.

Di bawah kerjasama itu, Saudi Aramco akan membekalkan sehingga 70% daripada keperluan bahan mentah untuk loji penapisan RAPID, manakala gas asli, tenaga dan utiliti lain akan dibekalkan oleh Petronas.

Pelaburan tersebut tidak asing bagi Aramco kerana mereka telah melakukan pelaburan yang sama di loji penapisan di seluruh dunia supaya mereka boleh membekalkan minyak mentah mereka ke loji penapis. Petronas juga mendapat manfaat daripada ini kerana mendapat jaminan bekalan minyak mentah memandangkan Malaysia bukan pengeluar minyak mentah besar.

Penapisan minyak sebenarnya lebih menguntungkan apabila harga minyak adalah rendah. Sementara ada perniagaan yang lebih besar untuk penyimpanan minyak semasa harga minyak yang rendah dan bekalan berlebihan. Ini membolehkan negara dan Petronas untuk menjadi lebih seimbang dan lebih berdaya tahan terhadap turun naik harga minyak.

Pelaburan Arab Saudi di Tanah Pengerang, Johor juga akan membuka lebih banyak jaringan kemudahan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Di samping itu, Tanah Pengerang juga akan menjadi tumpuan pelabur dalam dan luar negara. Daripada hasil pelaburan ini dapat  meningkatkan ekonomi negara dan juga dapat menarik kemasukan pelancong asing ke negara kita.

Dalam masa beberapa dekad, Malaysia tidak lama lagi akan menjadi pengeksport bersih produk minyak bertapis dan bukannya pengimport bersih dengan membenarkan orang lain untuk mendapat keuntungan daripada perbelanjaan kita.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi meningkat 27.8 peratus kepada RM13.99 bilion tahun lepas daripada RM10.95 bilion pada 2015. Malaysia juga mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor binaan Arab Saudi iaitu 19 kontrak bernilai RM18.5 bilion yang diberikan kepada syarikat-syarikat di Malaysia.

Majlis menandatangani perjanjian pelaburan antara Petronas dan Saudi Aramco sekaligus dapat menepis dakwaan daripada pihak pembangkang bahawa Saudi Aramco menarik diri dan membatalkan perjanjian dengan Petronas berkaitan dengan projek di Pengerang, Johor.


Penulis – WMayaTeam #WanitaMaya

Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter