TAKUT PADA  PINDAAN RUU AKTA  355???

Akta 355 adalah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Akta ini adalah akta untuk pesalah-pesalah jenayah yang beragama islam. Apabila usul mengenai Pindaan RUU 355 dibentangkan oleh Ahli Parlimen, YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai usul Persendirian, ianya telah menimbulkan beberapa kesalahfahaman di kalangan orang-orang bukan Islam dan orang Islam itu sendiri.

Mengapa dan apa keperluan Akta 355 ini dipinda??? Ianya adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan  kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, dan 6 kali sebatan syar’ie (pindaan 1984).  Akta ini dikanunkan pada 1965 dengan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM1,000.

Selepas pindaan 1984, tiada lagi pindaan-pindaan hukuman melainkan hanya pindaan peluasan kuasa ke atas Sabah dan Sarawak dan yang terakhir 1997 tetapi tafsiran sahaja. Hukuman-hukuman ini telah lapuk dan tidak mendatangkan perasaan gerun atau takut kepada masyarakat. Apa yang dicadangkan hanyalah peningkatan hukuman maksimum kepada hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain daripada hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

Hukuman sebatan yang dicadangkan dinaikkan kepada 100 kali sebatan di gembar-gemburkan sebagai agak melampau dan zalim. Sebenarnya ianya langsung tidak zalim. Kaedah sebatan syar’ie adalah berbeza dengan sebatan sivil. Syarat sebatan syar’ie adalah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di celah ketiak dan buku itu tidak boleh jatuh ketika menyebat. Sebatan ini lebih kepada sebatan mengingatkan bukan mencederakan. Oleh itu, 100 kali sebatan syar’ie langsung tidak menyamai walaupun 1 kali sebatan sivil.

Kekalutan orang Bukan Islam didalam isu ini amatlah nyata. Kebenarannya adalah orang Bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk Umat Islam dan Akta 355 sahaja. Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Akta 355 juga dikaitkan dengan Hudud dan dikatakan adalah jalan pintas untuk pelaksanaan Hudud. Ianya tiada kaitan pun. Pelaksanaan Hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Seperti untuk melaksanakan Hudud, sekurang-kurangnya tiga (3) pindaan kepada beberapa bahagian di dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan bukan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan memang boleh dipinda dengan syarat undi majoriti iaitu 2/3 Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat bersamaan 148 daripada 222 orang ahli Parlimen menyokong pindaan itu. Realiti politik kini jika semua Ahli Parlimen Islam digabungkan ianya hanya berjumlah 135 orang dan ianya tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda kecuali ada Ahli Parlimen Bukan Islam yang bersetuju untuk meminda.

Untuk melaksanakan Hudud di Malaysia sekurang-kurangnya 3 bahagian di Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda iaitu

1) Senarai II Jadual Kesembilan untuk penambahan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terkandung dalam Butiran 1 Seperti kesalahan membunuh, merogol dan menyebabkan kecederaan di mana ianya adalah di bawah bidang kuasa persekutuan dan di bawah Mahkamah Sivil dan Polis, Penjara juga terletak di bawah Persekutuan.

2) Selain daripada pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga perlu diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang Jenayah yang terkandung di dalam Senarai Kuasa Persekutuan.

3) Perkara 8 perlu dipinda supaya tidak timbul isu diskriminasi dan ketidakadilan serta kesamarataan hak warga yang dibezakan oleh peruntukan undang-undang kerana perbezaan agama. Dengan kata lain untuk membolehkan ada dua (2) set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan orang bukan Islam.

Hudud melibatkan hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan iaitu 4 bersifat individu iaitu zina, menuduh zina(Qazaf), minum arak dan Murtad. Manakala 2 lagi melibatkan kesalahan jenayah awam iaitu mencuri dan merompak. Di dalam undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri 4 kesalahan tadi telah di letakkan. Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam kerana ianya adalah di dalam bidang kuasa Persekutuan. RUU 355 hanya melibatkan enakmen jenayah negeri-negeri iaitu 4 perkara tadi. Tidak ada potong tangan dan potong kaki.

Manakala rogol pula bukan merupakan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana ianya terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya Undang-undang Penal Code atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan. Oleh itu, ianya tidak berkait dengan pindaan Akta RUU 355. Tiada perbezaan hukuman antara orang Islam atau orang Bukan Islam di dalam kes ini.

Di dalam pembentangan usul Pindaan RUU 355 ini, pembentangan dibuat oleh pihak bukan kerajaan kerana kerajaan terikat dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah. Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah dari 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana Mahkamah Sivil. Untuk itu, Menteri perlu mengadap semua Raja-raja Melayu untuk mendapat perkenan kerana kuasa agama terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu.

Setakat ini masih ramai yang tidak bersetuju untuk membolehkan pindaan ini dibentangkan di peringkat Majlis Raja-raja dan seterusnya ke Parlimen. Dengan kata lain, walaupun 355 adalah undang-undang Persekutuan tetapi ianya berkait secara langsung dengan kuasa Raja-raja. Keyakinan Jemaah Menteri yg terdiri dari pelbagai kaum juga diperlukan justeru untuk mengelakkan sesukaran ini maka lebih mudah jika dimulakan dengan usul Persendirian.

Jika Dewan Rakyat meluluskan ianya adalah atas kehendak rakyat bukan kerajaan semata-mata dan kemahuan ini tidak sesekali menyentuh kuasa Raja-raja kerana apa pun tahap maksimum hukuman yang diluluskan, pindaan muktamad masih perlu dilakukan di peringkat DUN. Kerajaan terikat dengan prosedur yang sama dalam konteks peningkatan Kuasa Hukuman Mahkamah Syariah manakala Parti PAS (bukan kerajaan) tidak terikat dengan prosedur ini dan  membolehkan ianya dibentangkan segera.

Kesimpulannya RUU355 bukanlah Hudud. Ianya adalah melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja untuk Bidang Kuasa Jenayah 1965. Pindaan ini adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah untuk Umat Islam di Malaysia. Semoga Pindaan ini dapat memberikan lebih kesedaran dan keinsafan kepada umat islam dari melakukan kesalahan. Dan pada 18.2.2017, telah berlangsungnya HIMPUNAN RUU 355  di Padang Merbok Kuala Lumpur yang dihadiri  lebih kurang 50,000 orang yang terdiri daripada NGO pelbagai kaum dan dari seluruh negara. Penjelasan mengenai Pindaan ini dijelaskan sejelas-jelasnya dan dengan kehadiran ini rakyat telah memberikan satu jawapan secara nyata mereka menyokong Pindaan RUU 355 ini dibentangkan.

Pencerahan dari Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

ISLAM ITU INDAH • ISLAM ITU MUDAH


Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter