Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di bawah Bajet 2013 merupakan satu program di mana pihak SKMM akan menyediakan capaian internet jalur lebar secara kolektif di 100 buah kawasan Program Perumahan Rakyat terutamanya di bandar-bandar besar terpilih di seluruh negara. PI1M ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Tujuan dan objektif PI1M ini adalah untuk membantu masyarakat luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi. Dari segi sosial, masyarakat luar bandar berpeluang menikmati dan melayari internet seperti mana yang dirasai masyarakat bandar dan dalam masa yang sama dapat merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan bandar.

Dari segi ekonomi pula, ia membolehkan masyarakat luar bandar menceburi bidang perniagaan dengan memasarkan produk keluaran mereka di laman Internet melalui tunjuk ajar dan latihan yang diberikan. Pengguna digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli PI1M bagi menikmati kadar yang lebih murah bagi setiap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.

Antara kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di PI1M ialah  internet jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan Wi-Fi bagi capaian penduduk sekitar, kemudahan IT terkini seperti 20 buah komputer dan perisian, perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan.

Sasaran sebanyak 900 PI1M akan disediakan dan dibuka menjelang akhir tahun 2017. Sebanyak 760 PI1M telah disediakan buat masa ini dan sasaran selebihnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan membuka PI1M menjelang akhir tahun ini.

Senarai Pusat Internet 1Malaysia yang beroperasi di seluruh negeri boleh rujuk di link ini SENARAI PI1M. Maklumat selanjutnya boleh didapati di http://www.skmm.gov.my.