Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus memacu Gelombang Kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) secara agresif ke arah Agenda Transformasi Negara. Menteri Pendidikan YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, banyak perubahan telah berlaku pada setiap peringkat sama ada dari peringkat penggubal dasar sehinggalah kepada perlaksanaan di sekolah.

Menerusi Agenda Transformasi Pendidikan Negara, warga pendidik yang berpandangan futuristik harus sedar bahawa terdapat agenda yang lebih besar untuk menyediakan anak-anak kita demi masa depan mereka antaranya Pembelajaran Abad Ke-21. Rata-rata pakar pendidikan bersetuju bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu berubah sesuai dengan perkembangan teknologi cyber dan akses kepada internet yang semakin maju.

Kaedah pengajaran konvensional seperti “chalk&talk” adalah kurang menarik minat murid sebaliknya memerlukan kaedah yang lebih dinamik dan kreatif. Selain daripada itu ia turut menerapkan pembelajaran yang kondusif, terbuka, interaktif, menarik dan berpusatkan pelajar.

Menyedari kepentingan ini, guru-guru perlu memahami dan bersedia melakukan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran. KPM telah melancarkan inisiatif Pembelajaran Abad Ke-21 secara rintis pada 2014 dan meluaskan perlaksanaan ke seluruh negara mulai tahun 2015.

Guru-guru berperanan sebagai fasilitator atau pemudahcara serta menekankan elemen membina Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam diri pelajar. Pelaksanaan pengajaran berdasarkan KSSR dan KSSM merupakan penanda aras keberkesanan Pendidikan Abad Ke-21 seperti yang dihasratkan oleh KPM.

Melalui perlaksanaan inisiatif ini, KPM berusaha membudayakan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) di 64 buah sekolah dan setiap sekolah akan berkongsi kepakaran dengan sekolah berdekatan.

Pada 2017, sebanyak 256 sekolah akan terlibat dengan penyebarluasan pembudayaan PLC mengikut Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah setiap negeri.

#PPPM2013-2025
#AgendaTransformasiPendidikanNegara
#WanitaMaya

Penulis – Tun Rahim | WMayaTeam

Ikuti Kami di Facebook | Instagram | Twitter