Tun Fatimah Binti Hashim merupakan Menteri Kabinet Wanita Pertama dalam Jemaah Menteri Tunku Abdul Rahman yang memegang portfolio Menteri Kebajikan dari tahun 1969 – 1973. Beliau memegang kepimpinan Kaum Ibu UMNO (kini dikenali sebagai Wanita UMNO) selama 16 tahun(1956 – 1972).

Beliau dicatatkan menyertai UMNO pada tahun 1947 ketika berusia awal 20-an sebagai ahli UMNO yang ke-315. Beliau dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu yang keempat menggantikan Khatijah Sidek.

Suami beliau Tan Sri Abdul Kadir Yusuf bekas Ketua Peguam Negara yang kemudiannya juga dilantik sebagai Menteri Undang-Undang, menjadikan mereka sebagai satu-satunya pasangan Menteri Kabinet dalam sejarah politik negara. Beliau mendapat galakan dan sokongan penuh daripada suaminya dalam kerjaya yang dicuburinya.

Dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Parit Keroma, Muar, Johor, Tun Fatimah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma dan kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Perempuan, Mersing dan menyandang jawatan sebagai guru pada usia 16 tahun.

Beliau mula mengorak langkah dalam dunia politik dengan manjadi ahli jawatankuasa Pergerakan Kaum Ibu UMNO Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru pada tahun 1948 dan pada masa yang sama menjadi Penolong Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu Johor Bahru.

Selepas itu, beliau mengikut suami beliau berpindah ke Kota Tinggi dan dilantiik sebagai Naib Pergerusi Kaum Ibu Kota Tinggi. Walaupun memperjuangkan politik, namum profesion perguruan tetap tebal dalam jiwa beliau apabila Tun Fatimah masih berkesempatan membuka kelas dewasa untuk membasmi masalah buta huruf di kalangan penduduk luar bandar di Kota Tinggi.

Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Setiausaha Kaum Ibu UMNO Johor pada tahun 1951 dan 1953.

Kegiatan politik beliau terhenti buat sementara waktu apabila mengikut suaminya melanjutkan pelajaran ke England pada tahun 1954 dan sekembalinya ke Tanah Melayu pada 1955 suami beliau telah ditugaskan di Ipoh Perak.

UMNO pusat telah meminta jasa baik beliau menubuhkan cawangan Pergerakan Kaum Ibu di Ipoh Perak dan beliau secara automatik dipilih mengetuai Kaum Ibu Bahagian Ipoh dan Dalam Mesyuarat Agung UMNO yang diadakan pada April 1956 beliau telah diberi tanggungjawab yang lebih mencabar iaitu mengetuai UMNO Negeri Perak.