‪#‎TokohWanita‬ : Ibu Zain

Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO 1950 – 1953

SUARA lembut merdunya mungkin tidak menggegarkan suasana tempat dia berucap, namun isi ucapannya tetap penuh semangat, menyedarkan rakyat tentang hakikat hidup penuh hina dibawah telunjuk penjajah.

Sesekali suara itu juga menyanyikan lagu-lagu semangat yang berjaya menarik wanita untuk sama-sama menyertai perjuangan menentang penjajah.

“Agama dididik, moden dibela. Dunia dikelek, akhirat ditatang”

demikian kata-kata keramat yang ditinggalkan oleh Allahyarhamah Tan Sri Hajah Zainun Sulaiman atau Ibu Zainun untuk generasi kini.

Ibu Zain tidak pernah patah semangat dalam memperjuangkan hak pribumi Tanah Melayu ini. Beliau terus memperlihatkan kegigihannya dalam usaha memajukan bangsa Melayu. Betapa besar jasa yang ditinggalkan oleh beliau dalam politik tanah air, khususnya Wanita UMNO.

Allahyarhamah Ibu Zain dilahirkan pada 22 Januari 1903 di Kampung Nyalas, Melaka. Pendidikan awalnya bermula di Taman Kanak-Kanak sebelum meneruskan pelajaran di Sekolah Rendah Perempuan Methodist Kampung Belanda.

Pada usia 18 tahun, beliau berpindah ke Muar untuk menjadi guru percubaan Sekolah Perempuan Bandar Maharani pada tahun 1921. Selepas enam bulan mengajar, beliau telah dilantik menjadi guru besar Sekolah Perempuan Maharani sehingga tahun 1926.

Tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Guru Pelawat Sekolah-Sekolah Perempuan Daerah Batu Pahat dan Muar dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Seluruh Negeri Johor pada September 1927.

Sepanjang penglibatannya sebagai Penyelia sekolah, beliau telah berjaya meniupkan semangat kebangsaan melalui ucapannya kepada guru, pelajar dan masyarakat umum.

Ucapan-ucapan tersebut kemudiannya dimuatkan ke dalam beberapa majalah khusus untuk kaum guru seperti Bulan Melayu dan Guru yang beliau sendiri bertindak sebagai pengasas dan pengarangnya.

Hasil berkat didikan ilmu agama daripada bapanya, Allahyarham Munshi Sulaiman, dimanfaatkan ilmu itu oleh Ibu Zain dengan memulakan sekolah-sekolah agama petang dan beliau sendiri menjadi penyelia sekolah-sekolah agama tersebut.

Di samping itu, beliau turut menubuhkan Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu pada tahun 1930 dan menjadi Yang Dipertuanya selama 19 tahun.

Ternyata Ibu Zain seorang yang sangat gigih dengan cita-cita dan semangat ingin membangunkan bangsanya. Kerana terlalu ingin melihat bangsa dan negaranya yang tertindas itu merdeka dan dapat berdiri tegak di atas kaki sendiri, Ibu Zain pernah diserang penyakit aneh iaitu ‘gila hendak merdeka’.

Apabila melihat kedudukan wanita Melayu yang menurut beliau pada waktu itu sudah punah ranah ‘kaki ke atas kepala ke bawah’ akibat kesan penjajahan tentera Jepun, Ibu Zain segera bertindak menubuhkan Kumpulan Ibu Sepakat dari tahun 1945 hingga ke tahun 1946.

Tujuannya ke arah usaha meningkatkan pembelaan nasib dan memulihkan akhlak kaum wanita.

Apabila Allaharham Datuk Onn Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung di Batu Pahat, beliau menulis surat meminta bantuan Ibu Zain mengumpulkan tenaga kaum ibu untuk menyertai perjuangannya.

Kedudukan Ibu Zain sebagai Penyelia dan Ketua Ibu Sepakat pada masa itu, membolehkan beliau menjalankan dan melaksanakan tugas itu dengan mudah dan sempurna.

Kerana permintaan tokoh Melayu Johor itu tidak menjadi kesulitan kepada Ibu Zain kerana beliau mempunyai Kumpulan Ibu Sepakat dan sudah pun berdampingan rapat dengan ibu-ibu tempatan.

Dengan menyertai Pergerakan Melayu Semenanjung pimpinan Datuk Onn itu, semangat politik dalam diri Ibu Zain bertambah meluap-luap. Dalam pertubuhan tersebut , beliau merupakan ‘Orang Khas’ Datuk Onn.

Bahagian Kaum Ibu bagi Pergerakan Melayu Semenanjung yang ditubuh pada tahun 1946 di Johor Bahru telah melantik Azizah Jaafar sebagai Ketuanya, sementara Ibu Zain dilantik oleh Datuk Onn menjadi Ketua Pungutan Derma Kebangsaan.

Sekali lagi Ibu Zain menjalankan tugasnya dengan licin dan gembira serta mendapat sambutan kerjasama yang baik, lebih-lebih lagi kerana beliau bertugas sebagai Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Melayu Negeri Johor yang mempunyai begitu ramai orang bawahan.

Dengan itu mudah sahaja beliau mengumpulkan wang derma beribu-ribu ringgit, dan kemudian diserah ke ibu pejabat Pergerakan Melayu Johor.

Di samping itu, hubungan dan tugas beliau sebagai Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Melayu Johor menjadi faktor Ibu Zain sering diangkat menjadi Pegawai Penerangan.

Beliau mempunyai banyak kemudahan untuk menemui orang ramai dan mempengaruhi kaum ibu. Tokoh Wanita UMNO ini pernah menjadi perwakilan Persidangan Perhubungan Asia pada tahu 1947. Kerana kecergasannya, pada tahun 1948 Allahyarhamah Ibu Azizah Jaafar menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri Johor.

Pada Ogos 1950, beliau telah dipilih sebagai wakil ke Perhimpunan Agung UMNO di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak dan seterusnya terpilih sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO yang kedua dari tahun 1950-1953, mengantikan Datin Putih Mariah Ibrahim Rashid.

Doktor menasihati Ibu Zain ke luar negara untuk berehat. Ibu Zain pergi ke Colombo, Sri Lanka bersama 14 orang lain kerana menghadiri Jambori di sana. Semasa ketiadaannya itu, Ibu Zain mencadangkan supaya Raja Perempuan Perlis, Tengku Budriah mengantikan tempat beliau menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO.

Raja Perempuan Perlis bagaimanapun hanya sanggup mengambilalih tempat beliau itu selama tiga bulan.

Pada penghujung tahun 1953, beliau sekali lagi keluar negara dan menjadi wakil wanita tunggal ke Persidangan Bahasa Melayu –Indonesia.

Ketika beliau berada di Indonesia, Mesyuarat Agung kaum Ibu UMNO Malaya diadakan dan dalam mesyuarat tersebut Khadijah Sidek telah dilantik bagi mengantikan tempat beliau sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya yang ketiga.

Antara tahun 1955-1963, Ibu Zain telah terpilih sebagai Naib Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO Bahagian Selatan. Dalam tahun 1955 juga beliau pernah ditawarkan sekali untuk menjadi calon Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya bersama Datuk Halimahtun tetapi kedua-dua tokoh besar itu menarik diri.

Antara faktor Ibu Zain menolak pencalonan tersebut adalah kerana beliau ketika itu sibuk dengan rancangan mendirikan Kolej Tengku Ampuan Mariam – yang mana projek kolej itu juga merupakan projek UMNO. Bagaimanapun, Ibu Zain tetap menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kaum Ibu UMNO.

Tahun 1959, Ibu Zain dicalonkan dalam pilihan raya kawasan Pontian Selatan. Beliau menang dan dilantik menjadi Ahli Parlimen bersama-sama Tan Sri Fatimah Hashim dan Ajibah Ibul dari Sarawak.

Menjelang pilihan raya umum 1964, beliau meminta tidak dicalonkan semula kerana Kolej Tengku Ampuan Mariam yang dibuka pada 10 Mac 1963 telah mengikat masanya daripada aktif untuk perkara lain.

Jasa Ibu Zain yang patut dikenang setiapa wanita negara ini ialah perayaan Hari Wanita yang diraikan pada 25 Ogos setiapa tahun adalah hasil cadangan beliau. Pada mulanya ia disebut Hari Ibu dan diraikan di Johor Bahru pada tahun 1962.

Pemergian Allahyarhamah banyak meninggalkan jasa yang patut dikenang oleh kaum wanita. Ibu Zain meninggal dunia pada 2 April 1989 kerana mengidap barah dalam perut.

SUMBER : http://www.wanitaumno.my

‪#‎HariWanita2016‬ ‪#‎Womensday‬ ‪#‎WanitaMaya‬ ‪#‎WanitaUMNO‬